WD perluas operasi di Sarawak, sasar pacu teknologi storan AI - Utusan Malaysia

WD perluas operasi di Sarawak, sasar pacu teknologi storan AI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Western Digital Corporation (WD) memperkukuh operasi pembuatan termajunya di Sarawak menerusi pembinaan fasiliti substrat kaca baharu bagi memacu pembangunan infrastruktur storan kecerdasan buatan (AI) generasi seterusnya.

Peluasan operasi sempena sambutan lebih 30 tahun kehadiran gergasi teknologi itu di Sarawak turut melibatkan pemeteraian perjanjian Sijil Tenaga Boleh Diperbaharui (REC) bersama Sarawak Energy Berhad (SEB) bagi menyokong ekosistem pembuatan mampan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pelaburan berterusan WD itu menjadi bukti kukuh kepada peranan strategik Sarawak yang semakin penting dalam landskap teknologi global.

“Majlis pecah tanah bagi fasiliti substrat kaca baharu ini dan perjanjian tenaga boleh diperbaharui bersama SEB mencerminkan komitmen bersama kita terhadap pembangunan mampan, inovasi, dan kemajuan ekonomi untuk rakyat Sarawak,” katanya dalam kenyataan. 

Fasiliti baharu itu direka khusus untuk mengupayakan masa depan teknologi rakaman Heat-Assisted Magnetic Recording (HAMR) yang membolehkan kapasiti storan cakera keras (HDD) berketumpatan tinggi dihasilkan dengan lebih cekap bagi memenuhi ekonomi data global.

Sementara itu, Ketua Operasi Global WD, Vidya Gubbi berkata, permintaan terhadap storan data yang meningkat dengan pesat ekoran gelombang transformasi AI mendorong syarikat untuk terus mempertingkat keupayaan pembuatan di negeri berkenaan.

“Pelaburan kami di Sarawak mengukuhkan keupayaan WD untuk menghasilkan teknologi termaju yang akan menyokong generasi infrastruktur AI akan datang, di samping beroperasi menggunakan 100 peratus tenaga bebas karbon,” katanya.

Menerusi kerjasama REC bersama SEB yang dijana daripada sumber hidroelektrik, WD berjaya mencapai pengurangan 100 peratus pelepasan Skop 2 berasaskan pasaran bagi operasinya di Sarawak sejak Tahun Kewangan 2024.

Langkah ini menyokong sasaran global WD untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih bagi Skop 1 dan Skop 2 menjelang tahun 2032.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SEB, Datuk Sharbini Suhaili berkata, jalinan kerjasama tersebut membuktikan keupayaan grid tenaga bersih Sarawak dalam menyokong usaha penyahkarbonan korporat serta menarik pelaburan bernilai tinggi yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid menyifatkan peluasan fasiliti itu selaras dengan hasrat Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS).

“Pelaburan ini memperkukuh keupayaan Malaysia dalam pembuatan termaju, memperdalam ekosistem perindustrian negara, dan menyokong peralihan negara ke arah aktiviti ekonomi yang lebih berteraskan inovasi serta bernilai tinggi,” ujarnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN