JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM3.6 juta bagi pelaksanaan Tabika Kemas Bangsa Johor (TKBJ) sebagai memperkukuh kualiti pendidikan awal kanak-kanak di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, TKBJ merupakan inisiatif pendidikan bagi melengkapkan ekosistem Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) yang dicetuskan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
“Pelaksanaan TKBJ turut mencerminkan kerjasama erat antara Johor dengan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menerusi Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dalam memperkasakan pendidikan awal kanak-kanak di negeri ini.
“Bagi menjayakan inisiatif ini, kerajaan negeri telah memperuntukkan RM3.6 juta bagi pelaksanaan TKBJ. Peruntukan ini melibatkan transformasi infrastruktur, latihan guru serta pemerkasaan silibus pembelajaran di empat premis membabitkan tujuh kelas TKBJ,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Libat Urus Kepimpinan Bersama Ibu Bapa Tabika Kemas Bangsa Johor di Flat Perumahan Larkin Court 1, di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Menurut Onn Hafiz, inisiatif berkenaan selari dengan hasrat kerajaan negeri untuk menyediakan ekosistem pendidikan yang lebih berkualiti dan berdaya saing.
“Kerajaan negeri turut memperuntukkan RM1.4 juta bagi kerja-kerja naik taraf semula Flat Perumahan Larkin Court 1 dengan mengecat semula ketiga-tiga blok perumahan di kawasan itu sebagai cerminan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan kebajikan serta kesejahteraan rakyat terus diberi perhatian,” katanya. – UTUSAN










