PETALING JAYA: Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan agar inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kes kematian Zara Qairina Mahathir semalam.
AGC dalam kenyataan berkata, arahan inkues dijalankan adalah selaras dengan peruntukan di bawah Subseksyen 339 (1) Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593).
“Prosiding inkues itu bertujuan menentukan punca dan sebab kematian termasuk mengenal pasti sama ada terdapat unsur jenayah atau sebaliknya dalam kematian Zara Qairina.
“Proses ini akan dikendalikan di Mahkamah Koroner secara bebas dan telus mengikut peruntukan undang-undang,” katanya hari ini.
Jumaat lalu, AGC mengarahkan kubur Zara perlu digali semula bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan ke atas jenazah pelajar berkenaan.
AGC berpendapat bahawa terdapat keperluan untuk siasatan lanjut oleh PDRM demi memastikan siasatan dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
Pada 9 Ogos lalu, kubur remaja berkenaan digali semula di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol, Sipitang, Sabah dan jenazah dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I untuk proses bedah siasat, sebelum selamat dikebumikan semula awal pagi Ahad di tanah perkuburan sama. – UTUSAN










