PUTRAJAYA: Perkhidmatan Penggerak Penumpang Automasi (Aerotrain) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kini telah mengangkut hampir dua juta penumpang sejak beroperasi semula 1 Julai lalu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, Aerotrain tetap membawa jumlah penumpang yang ramai biarpun berdepan beberapa insiden gangguan perkhidmatan.
“Kita akui ada beberapa insiden selepas Aerotrain ini dibuka semula, tetapi hakikatnya tak sampai tempoh dua bulan sejak 1 Julai, ia telah mengangkut hampir dua juta penumpang.
“Walaupun ada beberapa insiden yang kita tidak diinginkan, sudah tentu pihak Malaysia Airport Holdings Bhd (Malaysia Airports) perlu berusaha sesungguhnya untuk memastikan bahawa gangguan-gangguan teknikal ini dapat diminimalkan atau disifarkan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan peringkat Kementerian Pengangkutan (MOT) di sini hari ini.
Katanya, beliau berharap perkhidmatan itu dapat berjalan lancar sekali gus memudahkan pergerakan penumpang-penumpang di KLIA terutama antara bangunan terminal ke bangunan satelit.
Loke berkata, perkhidmatan Aerotrain di KLIA amat kritikal justeru, pihaknya perlu memastikan pergerakannya tidak terjejas.
“Dalam mana-mana perkhidmatan rel, ia memang sentiasa berdepan satu cabaran tinggi tak kira di mana negara sekalipun. Bagaimanapun, kita minta Malaysia Airports supaya memantau perkhidmatan ini setiap hari bagi memastikan penyelenggaraan dibuat dengan baik setiap malam,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Aerotrain mengalami gangguan sementara berpunca daripada kerosakan teknikal pam saliran di terowong sedia ada selepas beberapa hari beroperasi semula.
Aerotrain itu dilengkapi tiga gerabak yang menawarkan perkhidmatan tahap tinggi
dengan kapasiti 270 penumpang bagi setiap perjalanan. –UTUSAN









