AEON, AEON Credit meterai usahasama strategik

AEON, AEON Credit meterai usahasama strategik

DAISUKE Maeda (kiri) dan Naoya Okada bertukar dokumen usahasama strategik antara AEON CO (M) Bhd. dan AEON Credit Service (M) Bhd. di Kuala Lumpur, hari ini. 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: AEON CO. (M) Bhd. dan AEON Credit Service (M) Bhd. memeterai usahasama strategik (JV) bagi menubuhkan sebuah entiti baharu yang akan memacu integrasi keahlian pelanggan, kepintaran data dan pendigitalan merentas ekosistem Kumpulan AEON di Malaysia.

Entiti baharu itu yang namanya bakal dimaklumkan kelak, akan dimiliki bersama AEON Credit sebanyak 51 peratus dan AEON (49 peratus), dengan modal berbayar sebanyak RM50 juta.

AEON dan AEON Credit merupakan syarikat senaraian awam di bawah Kumpulan AEON.

Pengarah Urusan AEON Credit, Daisuke Maeda berkata, usahasama itu bertujuan menjadi program keahlian tunggal untuk Kumpulan AEON, menyokong usaha pemasaran merentas platform sambil memberikan pelanggan pengalaman runcit secara menyeluruh.

Usaha itu juga katanya, berperanan sebagai pintu masuk bagi peniaga dan rakan niaga yang ingin berinteraksi dengan pangkalan pelanggan Kumpulan AEON yang besar dan pelbagai.

“Usahasama itu akan berfungsi sebagai pusat penyelarasan bersepadu yang menyatukan penglibatan pelanggan, media digital, analisis data dan penyelesaian pemasaran merentas titik sentuh runcit, kewangan, digital dan gaya hidup dalam ekosistem AEON.

“Usahasama ini bakal membuka sinergi ekosistem sebenar merangkumi keupayaan runcit, perkhidmatan kewangan dan digital untuk memberikan nilai dan manfaat menyeluruh bagi pelanggan kami,” katanya pada majlis menandatangani usahasama itu, hari ini.

Maeda berkata, dengan AEON Bank menyertai sinergi itu sebagai bank rasmi, ia memperkukuh komitmen bersama terhadap inovasi digital dan pertumbuhan berasaskan data.

Katanya, AEON Bank juga akan menyokong rakan niaga AEON melalui penyelesaian perbankan perniagaan, di samping melengkapi peranan JV dalam memacu perkongsian platform yang memberi manfaat kepada semua pelanggan Kumpulan AEON.

Sementara itu, Pengarah Urusan AEON, Naoya Okada berkata, dengan menggabungkan kekuatan runcit, kedua-dua syarikat bersama mencipta ekosistem keahlian pintar yang akan berkembang seiring dengan kehendak pelanggan.

“Usaha sama ini merupakan tunggak penting dalam strategi transformasi digital dan sinergi jangka panjang seluruh Kumpulan AEON,” katanya.

Melalui JV itu ahli aktif kedua-dua syarikat disasarkan meningkat kepada 10 juta orang dalam tempoh lima tahun akan datang.

Difahamkan, ketika ini keahlian AEON dan AEON Credit berjumlah kira-kira 3.7 juta. Melalui JV itu, ahli akan diletakkan di bawah satu platform membolehkan mereka mengalami pengalaman lebih menarik dan menyeluruh.

Ini kerana, usahasama ini akan menyatukan pengurusan data dan keahlian merentas entiti AEON termasuk AEON, AEIN BIG Sdn. Bhd., AEON Credit dan AEON Bank (M) Berhad untuk memperkukuh asas ke arah integrasi ekosistem lebih menyeluruh dan merangsang perkongsian nilai bersama.

Usahasama itu dijangka mula beroperasi pada suku keempat 2025, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa dan kesiapsiagaan operasi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN