KUALA LUMPUR: Sebanyak 31 projek perumahan terbengkalai berjaya memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC), tiga projek kembali berjalan lancar dan baki 21 projek menunjukkan kemajuan untuk disiapkan mengikut jadual.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, perkembangan itu hasil usaha bersepadu Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) bersama pihak berkuasa tempatan (PBT), agensi teknikal serta penyedia utiliti.
“Ia melibatkan pemantauan terhadap 55 projek perumahan swasta setakat 30 Jun lalu, merangkumi 34 projek pada 2024 dan 21 projek dalam tempoh Januari hingga Jun lalu,” katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Parlimen, hari ini.
Sehingga 30 Jun lalu, beliau berkata, TFST mengesan dan memantau sebanyak 233 projek perumahan swasta yang dikategorikan sebagai lewat, 360 projek sakit dan 109 projek terbengkalai di seluruh negara.
Berdasarkan perbandingan data pada 30 April lalu, katanya, jumlah projek sakit telah mencatatkan peningkatan daripada 339 kepada 360 projek, manakala projek lewat kekal dengan jumlah 233 projek. Projek terbengkalai pula mencatatkan penurunan daripada 114 kepada 109 projek.
“Pencapaian TFST setakat ini menunjukkan perkembangan sangat positif. Sehingga kini, sebanyak 1,171 projek perumahan swasta berjaya dipulihkan melibatkan 139,848 unit rumah dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM113.55 bilion.
“Bagi tahun ini (sehingga 30 Jun), TFST berjaya memulihkan 244 projek perumahan swasta melibatkan 27,101 unit rumah dengan nilai GDV berjumlah RM21.07 billion,” katanya.
Aiman Athirah berkata, sebanyak lima projek terbengkalai melibatkan 887 unit rumah dengan nilai GDV berjumlah RM55.74 juta berjaya dipulihkan sepenuhnya melalui kaedah penyiapan projek sehingga memperoleh sijil CCC.
“Projek terbengkalai yang berjaya dipulihkan adalah Projek Taman Meru Makmur, Klang, Selangor; Projek Taman Mega 1, Mukim Kerteh, Kemaman, Terenganu; Projek Pangsapuri Impian Meru, Klang; Projek Taman Desa Kempas, Fasa 3, Tebrau, Johor dan Projek Taman Megah Edora, Jajahan Bachok, Kelantan,” katanya.
Mengenai Projek Residensi Hektar Gombak, beliau berkata, kerja pembinaan semula sudah dilaksanakan sejak 31 Julai lalu dan dijangka siap pada 2027 dengan melantik kontraktor utama baharu, Bina Permai Sdn. Bhd.
“Pemaju dan kontraktor utama bersetuju untuk melaksanakan kerja lebih masa bagi mempercepatkan penyiapan projek. Saya sendiri akan turun padang setiap tiga bulan bagi meninjau kemajuan projek ini.
“TFST akan terus memainkan peranan aktif dalam memantau pematuhan terhadap pelan pemulihan ditetapkan dan akan menjadikan kemajuan projek ini sebagai agenda tetap mesyuarat sehingga projek ini mendapat sijil CCC,” katanya. – UTUSAN









