Wujud laluan khas alumni KYF - Ahmad Zahid

Wujud laluan khas alumni KYF – Ahmad Zahid

Ahmad Zahid Hamidi (tiga kiri) menyerahkan Anugerah Inspirasi Alumni kepada Nurshahidah Ibrahim (tiga kanan) pada Majlis Konvokesyen Kolej Yayasan Felda Ke-26 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec), Kuala Lmpur, semalam. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Satu laluan khas dicadang diwujudkan bagi menggalakkan penglibatkan semula alumni Kolej Yayasan Felda (KYF) sama ada sebagai tenaga pengajar, mentor industri, pembimbing keusahawanan atau penyumbang kepakaran.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, penubuhan itu penting kerana alumni KYF adalah aset yang amat berharga dan bukan sekadar simbol kejayaan tetapi pemangkin masa depan yang mampu mengangkat komuniti Felda ke tahap lebih tinggi.

“Sejak penubuhannya, KYF telah melahirkan lebih 31,633 alumni yang kini menyumbang kepada pelbagai sektor strategik negara. Di sinilah terletaknya kekuatan KYF.

“KYF bukan sahaja menjadi penyumbang utama kepada bekalan tenaga mahir, tetapi juga telah mengangkat nama Felda sebagai salah satu tunjang dalam ekosistem pembangunan kemahiran nasional,” katanya pada majlis perasmian Majlis Konvokesyen KYF Ke-26 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, semalam.

Seramai 534 graduan KYF diraikan pada majlis konvokesyen berkenaan.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW) turut menyarankan KYF memperluaskan penawaran program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berimpak tinggi seperti teknologi makanan, kraftangan, pertanian pintar, ekonomi digital dan keusahawanan sosial desa.

Bagi tujuan itu katanya, KYF ditawarkan sebanyak RM1 juta daripada Majlis TVET Negara (MTVET) untuk menjalin kerjasama secara pintar dengan dua institusi di bawah KKDW iaitu Universiti Kuala Lumpur dan Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM).

“Langkah itu penting supaya ia sejajar dengan keperluan industri masa hadapan dan kekal relevan dalam ekosistem pembangunan desa yang inklusif dan mampan.

“Dari anak peneroka ke barisan profesional. Kini, tiada siapa boleh menidakkan kemampuan Felda melahirkan barisan doktor, jurutera, usahawan, pendidik dan pemimpin yang menggalas peranan penting mencorak masa depan negara,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata, TVET kini sedang membentuk gelombang perubahan besar dalam pembangunan modal insan negara.

Buktinya, kata beliau, platform UP_TVET yang dilancarkan sejak 2023 menerima sambutan luar biasa dengan 90,558 permohonan diterima sejak tahun pertama pelaksanaannya.

“Bagi tahun kedua, iaitu pada 2024, permohonan meningkat melebihi 200,000 permohonan.

“Malah, kadar kebolehpasaran graduan TVET yang mencecah 95.1 peratus juga mencerminkan betapa tinggi permintaan terhadap tenaga kerja berkemahiran ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN