Wujud 50,000 peluang kerja

Wujud 50,000 peluang kerja

ANWAR Ibrahim ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, semalam. – UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sejumlah 50,000 peluang pekerjaan baharu berjaya diwujudkan bagi sektor pembuatan menerusi projek pelaburan di negara ini setakat suku pertama tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia sekali gus membuktikan pemulihan ekonomi negara berada pada landasan kukuh dengan impak terus dirasai rakyat menerusi peningkatan pekerjaan, gaji dan nilai tambah industri.

Menurut beliau, gaji median rakyat juga naik 54 peratus, bermakna minimum gaji median bagi pekerja baharu di sektor pembuatan ialah RM2,745.

“Ini termasuk juga keputusan kita naikkan kadar gaji minimum. Dulu RM1,500, sekarang RM1,700. Ini bukan angan-angan.

“Kita mahu pastikan pe­laburan beri manfaat langsung kepada pekerja tempatan, bu­kan hanya untung kepada pelabur semata-mata,” katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri, di sini semalam.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, sebanyak 3,095 atau 86.4 peratus daripada 3,494 projek pelaburan sektor pembuatan diluluskan antara 2021 hingga Jun 2025 direalisasikan dan sedang beroperasi.

Beliau menjelaskan, secara keseluruhan angka tahunan pelaksanaan projek diluluskan itu merekodkan sebanyak 90.6 peratus bagi 2023 dan 79.2 pe­ratus pada 2024.

Katanya, bagi suka pertama 2025, ia merekodkan sebanyak 49.8 peratus sekali gus membuktikan bahawa pelaburan bukan sekadar diumum, tetapi dilaksanakan dan memberi kesan langsung kepada ekonomi serta kehidupan rakyat.

“Jadi, saya ada maklumkan kepada menteri untuk terus memaparkan (data terlibat). Klang di mana (projek ber­jalan), Johor, Sarawak, Sabah dan Kuala Lumpur.

“Kebanyakan (projek direa­lisasikan) dalam sektor pembuatan dan peningkatan yang ketara ialah dalam bidang digital dan hijau,” katanya.

Anwar berkata, pada suku pertama 2025, projek dilulus dan dijalankan ialah sebanyak 1,490 dengan menawarkan sebanyak 9,200 peluang pekerjaan.

“Kita sudah tubuh Invest Malaysia Facilitation Centre (IMFC) di Johor dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) yang mana sejak penubuhannya 28,166 permohonan pelabur telah difasilitasi dengan kadar penyelesaian 99.9 peratus.

“Ini maknanya jentera penjawat awam, bukan yang saya umum. Jadi, bila ada peranan penjawat awam melaksanakan dengan cepat dan berkesan, kita ingin iktiraf,” katanya.

Kerajaan katanya, berjaya mengurangkan defisit fiskal daripada 5.5 peratus pada 2022 kepada 5.0 peratus tahun 2023 dan 4.1 peratus tahun 2024.

Perdana Menteri berkata, susulan itu, kerajaan juga me­netapkan sasaran untuk mencapai sasaran 3.8 peratus defisit fiskal bagi tahun ini.

“Seiring dengan pengurangan defisit, kerajaan telah mengurangkan hutang baharu tahunan daripada RM99 bilion (2022) kepada RM93 bilion (2023) dan RM77 bilion (2024),” katanya.

Malaysia juga tidak berkompromi dalam mempertahankan pendirian negara, termasuk me­ngenai Dasar Bumiputera dalam berdepan rundingan isu tarif de­ngan Amerika Syarikat (AS).

“Kerajaan kekal tegas perlu ada garis sempadan atau redline tertentu dalam run­dingan, biarpun menghargai kepentingan hubungan dagang dan pelaburan dengan kuasa ekonomi itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN