Wajah saya bukan ‘free size’ untuk disamakan dengan sesiapa pun - Siti Khadijah - Utusan Malaysia

Wajah saya bukan ‘free size’ untuk disamakan dengan sesiapa pun – Siti Khadijah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pelakon popular, Siti Khadijah, memohon orang ramai terutama peminat supaya berhenti menyamakan dirinya dengan pelakon, Siti Hariesa.

Siti Khadijah menegaskan, antara dia dan Hariesa, kedua-duanya merupakan dua individu yang berbeza baik dari segi kerjaya mahupun peribadi.

“Kami berdua adalah entiti berbeza. Dia ada kehidupan dia, saya ada kehidupan saya. Projek dia lain, projek saya pun lain.

“Jadi, fahamlah. Kami ini dua orang manusia yang berlainan. Kalau saya tengah sibuk di set penggambaran, tak mungkin Siti Hariesa ada di sebelah saya.

“Dia bukannya berlakon sekali dengan saya pun,” katanya dalam satu siaran live di Tiktok kelmarin.

Jelas Siti Khadijah, kekeliruan itu ketara apabila ada pihak mengaitkan dirinya dengan babak lakonan Siti Hariesa bersama pelakon lelaki popular, Zul Ariffin sebelum ini, sehingga menyaksikan dirinya pula menjadi mangsa kecaman.

“Saya pelik, sebelum ini pun, apabila dia (Siti Hariesa) berlakon dengan Zul Ariffin, saya pula yang kena maki?

“Saya rasa kelakar pun ada. Sedangkan yang berlakon itu dia, tapi yang netizen marah, saya,” katanya.

Selain itu, pelakon itu juga menafikan dakwaan bahawa mereka berdua mempunyai hubungan rapat, sebaliknya hanya mengenali antara satu sama lain dalam konteks profesional sebagai rakan industri.

“Kami bukan ‘bestie’ (rakan baik) . Kami hanyalah kenalan dalam industri.

“Kami juga bukan adik-beradik. Saya ada kakak kandung, jadi saya nak tegaskan saya dengan Siti Hariesa kami bukan adik-beradik, bukan saudara.

“Tolong hentikan andaian tidak berasas itu,” ujarnya lagi.

Selain itu, Siti Khadijah turut menegaskan dia tidak pernah berasa cemburu atau terganggu dengan lakonan Siti Hariesa, sebaliknya hanya terkilan apabila dirinya sering disalah anggap oleh segelintir netizen.

“Saya tak ada sebab nak cemburu pun. Saya cuma kecewa bila netizen kecam saya seolah-olah saya adalah dia.

“Wajah saya ni bukan ‘free size’ atau wajah umum yang boleh disamakan dengan sesiapa pun. Tolonglah, bezakan kami,” katanya.

Dalam pada itu, pelakon ini berharap peminat dan warganet lebih matang dalam membuat penilaian serta tidak menyebarkan kekeliruan.

“Bagaimanapun kami masih berkawan di media sosial seperti Instagram dan TikTok. Tapi kalau ada yang harap kami ini ‘bestie’ yang hari-hari berjumpa, itu tidak berlaku. Saya ada kerja, dia pun ada kerja,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN