Cerpen-cerpen saudagar kopi mengangkat tema serumpun

Cerpen-cerpen saudagar kopi mengangkat tema serumpun

ANTOLOGI cerpen Saudagar Kopi menghimpunkan 24 penulis yang menghasilkan 28 buah cerpen bertemakan serumpun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IDEA pengkaryaan datang daripada aneka punca. Pengalaman berkunjung ke sesuatu lokasi biasanya merupakan asbab terperciknya ilham. Hal ini tampaknya benar dalam konteks keberhasilan antologi cerpen Saudagar Kopi (SK). Antologi ini terhasil menerusi muafakat 24 pengkarya dengan penghasilan 28 buah cerpen.

Mengapakah judul SK dipilih? Pertama, cetusan datangnya daripada pengalaman saya dan sahabat, Mohd. Nasir Mahmud berkunjung ke sebuah rumah makan dengan nama yang sama, terletak di Jalan Agus Salim, Jakarta Pusat pada Disember 2022.

Kedua, minuman kopi diketahui umum sebagai minuman yang lazim bagi kebanyakan orang. Kelaziman itu seolah-olah menandai gaya hidup massa. Ketiga, rata-rata penulis mudah menghadam tema serumpun, sementelah watak-watak antoganis dan protagonis mudah dicipta kerana sudah ditemukan banyak realiti di lingkungan.

Bersandarkan tiga hujah itu, saya dan Mohd. Nasir menggerakkan kelompok penulis, yang rata-ratanya sudah berpengalaman dalam penulisan.

Mohd. Nasir mengkhusus kepada upaya pengumpulan dan penyusunan format cerpen, manakala saya menyanggupi tugas membaca dan memurnikan karya. Kami bergerak secara swaterbit, mengupayakan celik akal dan ukhuwah dalam kalangan penulis.

Memang disedari bahawa tugas membaca cerpen bertemakan kehidupan insan serumpun mengundang hikmah yang bukan sedikit. Mengapa dikatakan hikmah? Hikmahnya timbul dalam dua situasi. Pertama, sebagai pengamal bahasa, tugas membaca juga merangkumi tugas menyemak.

Kedua, sebagai editor penyelaras, pembacaan dapat saya lakukan dalam bentuk pengesanan tentang ketepatan tema, penetapan teknikal persembahan karya dan pemurnian tatabahasa mengikut konteks naratif, jika perlu.

Dengan kata lain, saya menerapkan pendekatan “Tiga T” (tema, teknikal dan tatabahasa) semasa meneliti manuskrip cerpen. Proses kerja tampaknya mencabar keupayaan diri.

Namun, berbekalkan pengalaman literasi dengan beberapa orang sasterawan, kemudian menjurus kepada bidang pengajian bahasa, seterusnya menekuni kerja penataran bahasa dalam tempoh yang relatif panjang, keyakinan saya menjadi teguh sepanjang mendepani tugas pembinaan manuskrip, dengan sokongan padu para peserta projek.

Latar tempat yang menjadi tumpuan naratif adalah Malaysia, Indonesia, Thailand, Singapura dan Brunei Darussalam. Kebanyakan cerpen berlatarkan Indonesia sebagai sumber naratif. Ada juga cerpen yang menggabungkan dua negara tetangga, khususnya Malaysia dan Indonesia. Hanya empat buah cerpen memusatkan penceritaan di Thailand, manakala sebuah cerpen berlatarkan

Singapura dan sebuah cerpen berlatarkan Brunei Darussalam.

Huraian yang berikut sekadar memetik beberapa contoh cerpen dalam antologi SK. Abdul Hamid Abdul Halim menerusi cerpen Rindu Akan Aroma Secangkir Kopi menyorot peristiwa Tsunami di

Aceh pada 2014 sebagai tema cerpennya, mengutarakan kisah perhubungan watak Helmi dari Malaysia dengan Cici Maliqa dari Aceh.

Dalam cerpen “Adakah Cinta Itu Pengajaran?”, Ahmad Zauawi Che Cob menyorot tema perhubungan cinta nan unik antara ‘aku’ dan gadis sunti dari Banyuwangi, Pulau Jawa.
Rashidah Abu pula mengutarakan konflik perhubungan suami isteri dalam cerpennya, Rindu Dua Dekad. Pasangan berkenaan memilih jalan hidup masing-masing. Sang suami berada di Indonesia dan sang isteri kembali ke Malaysia. Anak mereka pulang bertemu dengan ibunya 20 tahun selepas perpisahan ibu bapanya.

Perihal persamaan budaya serumpun dapat dilihat dalam cerpen Secawan Kopi di Tanah Abang oleh Jaffrie Md Yatim.

Watak Basri dari Malaysia dipertemukan dengan Mbak Lily, pelajar sebuah universiti di Jakarta. Naratif tentang pengalaman belajar di Yogyakarta dicoretkan dalam cerpen Sama Tidak Persis oleh Monarita Mohd. Hassan.

Noor Habibah Kaderan menerusi cerpen Kopi Senja di Tanah Abang menukilkan kisah kunjungan singkat ke Jakarta, masih mampu menitip pengalaman yang bermakna.

Meneliti 28 buah cerpen bagaikan menyusun batu-bata pengalaman hidup yang rencam lagi meralitkan. Keseronokan membaca manuskrip menjadikan tugas editorial bagaikan kerja amal.

Dalam penugasan itu, dapat dikesan persoalan yang diketengahkan oleh para penulis. Sekadar contoh, Noridah Shaari menerusi cerpen Cinta Cili Padi mencipta watak pasangan suami isteri, Haji

Husin dan Hajah Azilah, pemilik kedai pakaian di Seremban.

Haji Husin sempat menikahi seorang wanita di sempadan Thailand gara-gara mengurus pembelian pakaian di pekan sempadan itu.

Akhirnya, dapat disimpulkan bahawa antologi terbitan Bulan Terbit Services ini sangat sesuai dibaca oleh penggemar kisah hidup warga serumpun ASEAN.

Cerpen-cerpen dalam SK nyata mengesankan dengan pengisahan menerusi lenggok bahasa yang sesuai mengikut jalur cerita. – UTUSAN

Penulis ialah Munsyi Dewan DBP.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×