KAPIT: Penduduk Rumah (Rh) Liun di Nanga Pangai, Sungai Ibau di sini sekadar mampu melihat rumah mereka ranap dijilat api, dalam kebakaran yang berlaku pada awal pagi hari ini.
Ia disebabkan lokasi rumah panjang itu yang terletak sangat jauh, dengan perlu melalui jalan balak serta merentas sungai dan tiada liputan telekomunikasi.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian daripada Tuai Rumah terbabit kira-kira pukul 10 pagi, ketika rumah panjang itu sudah menjadi arang.
“Kejadian dilaporkan berlaku sekitar pukul 2.30 pagi, namun pelapor yang juga Tuai Rumah hanya hadir ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit pada pukul 10 pagi untuk membuat laporan, berikutan tiada liputan talian komunikasi di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Susulan itu, katanya pasukan BBP Kapit segera ke lokasi kejadian, yang terletak kira-kira 61 kilometer dari balai atau memakan masa perjalanan hampir dua jam.
Katanya setiba di lokasi mendapati rumah panjang yang mempunyai 29 pintu itu telah musnah 90 peratus akibat kebakaran.
Tambahnya, maklumat awal mendapati 13 pintu adalah kosong dan tiada berpenghuni, manakala 16 pintu dihuni oleh seramai 28 orang.
“Semua penghuni berada di rumah semasa kejadian mereka dilaporkan selamat,” katanya.










