KEMAMAN : “Saya kehilangan seorang anak yang penuh dengan kasih sayang dan sangat cakna hal keluarga.”
Itu luahan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permaisuri, Datuk Abd. Halim Jusoh yang kehilangan anak keduanya, Nurhazwani, 34, akibat lemas di sebuah resort di sini, malam tadi.
Abd. Halim berkata, ketika kejadian dia bersama isteri sedang melayani cucunya di kolam kanak-kanak bersebelahan kolam dewasa, iaitu lokasi anaknya itu mandi bersama suaminya.
“Anak saya dan suaminya berada saling berdekatan, kejadian berlaku terlalu pantas. Boleh dikatakan tidak sampai satu minit suaminya berpaling ke arah lain, dia sudah tenggelam ke dalam air.
“Menantu bergegas menyelamatkan anak saya dan membawanya ke tepi kolam sebelum melakukan bantuan pernafasan (CPR) sebelum dibantu kakitangan resort berkenaan,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kemaman, hari ini.
Abd. Halim berkata, anak kedua daripada empat beradik itu kemudian dibawa ke Hospital Kemaman oleh pasukan perubatan sebelum disahkan meninggal oleh pasukan perubatan.
“Dari awal dia disedari lemas, suaminya dan kakitangan resort sedaya-upaya menyelamatkan nyawanya kemudian disusuli pegawai perubatan. Saya berada di samping anak, memegang erat tangannya setiap masa sehingga dia disahkan meninggal dunia. Mereka sudah cuba sedaya-upaya menyelamatkannya, namun Allah lebih sayangkannya dan saya reda dengan ketentuannya,” katanya.
Abd. Halim yang kini menetap di Bangi, Selangor berkata, meskipun Nurhazwani yang merupakan pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pahang tinggal berjauhan, Allahyarham sering menghubunginya untuk bertanya khabar.
“Sebelum ke resort tersebut, kami sempat mengadakan hari keluarga di daerah ini untuk meluangkan masa bersama-sama dengan keluarga besar kami. Allahyarhamlah yang sering merancang sebarang aktiviti dalam keluarga kerana dia seorang yang sangat sistematik dan peranncangannya selalunya menjadi,” katanya.
Sementara itu, di pekarangan Unit Forensik Hospital Kemaman, lebih 200 ahli keluarga dan kenalan termasuk bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said; bekas ADUN Jabi, Mohd. Iskandar Jaafar dan Adun Kijal, Datuk Razali Idris turut hadir menziarahi keluarga mangsa. – UTUSAN










