KUALA LUMPUR: Pelakon, Nabila Huda, menasihati pendatang baharu dalam industri seni supaya memanfaatkan kesempatan bekerja di set penggambaran bersama barisan pelakon berpengalaman sebagai ruang untuk menimba ilmu dan pengalaman.
Nabila, 41, berkata, adalah satu kerugian sekiranya pelakon baharu memilih untuk menyendiri dan tidak mengambil peluang bergaul dengan individu yang lebih berpengalaman ketika berada di set.
“Jangan bersendirian sangat. Kena berkawan dan bergaul. Saya dulu pun selalu dengan senior sebab saya mahu korek dan belajar daripada pengalaman hidup mereka.
“Kadang-kadang ada orang yang introvert, mengalami keresahan sosial atau mungkin takut terlupa skrip, tetapi kena pandai-pandai mendekati mereka.
“Tanyalah perkara rawak dan pengalaman mereka. Suatu hari nanti, kita mungkin tidak akan berjumpa lagi.
“Pengalaman di set penggambaran sangat indah. Masing-masing mempunyai bakat yang luar biasa dan awak dipilih untuk bersama mereka. Jadi, hargailah momen itu. Jangan ‘kekwat’, nanti orang benci,” katanya.
Nabila berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Festival Muzik Ultra Kalcer Malaysia 2026 di The Arch Galeries, di sini, Khamis lalu.
Mengulas perkembangan pelakon generasi kini, Nabila melahirkan rasa bangga melihat semakin ramai bakat baharu menyerlah dalam industri seni.
Pada masa sama, dia berharap golongan berkenaan tidak mudah lupa diri, sebaliknya terus merendah diri dan memberi fokus untuk mengasah kraf masing-masing.
“Kepada semua pelakon baharu dan anak-anak muda yang ada sekarang, kekalkan sikap sentiasa merendah diri.
“Ingat misi kalian, satu sahaja. Apa yang kalian niatkan sewaktu awal-awal mahu masuk industri ini, biarlah sampai kalian tua, niat itu tetap sama,” katanya. -UTUSAN











