KUALA LUMPUR: Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO bersedia menimbang sebarang rayuan oleh ahlinya yang dikenakan tindakan disiplin termasuk oleh Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, peruntukan jelas memberi ruang kepada mana-mana individu yang ingin mencabar keputusan tindakan tatatertib terhadap mereka melalui saluran yang sah dalam parti.
“MKT boleh mempertimbangkan sebarang rayuan yang dikemukakan oleh mana-mana ahli yang dikenakan tindakan disiplin parti, sebagaimana termaktub dalam Fasal 20.12,” katanya dalam kenyataan selepas Mesyuarat MKT UMNO di sini malam ini.

Kenyataan itu dibuat ketika tumpuan kini terarah kepada kemungkinan penggantungan Hishammuddin dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan.
Terdahulu, Ahli MKT UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, fokus utama perbincangan malam ini adalah berkenaan, isu penggantungan keahlian Hishammuddin.
Hishammuddin digantung selama enam tahun pada Januari 2023. – UTUSAN










