UMNO perlu tanding 120 Parlimen jika mahu dominan

UMNO perlu tanding 120 Parlimen jika mahu dominan

MOHD. HAIRI Mad Shah (tiga kanan) dan Mohd. Affifi Mohd. Aris (empat kir) menyerahkan hadiah kepada penerima di Dewan Seri Kerayong, Kapar, Selangor, semalam. UTUSAN/ ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: UMNO perlu bertanding lebih 120 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) jika mahu kembali menjadi parti dominan di negara ini.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kapar, Mohd. Affifi Mohd. Aris berkata, beliau yakin hasrat akar umbi mahu melihat parti itu memimpin dan bukannya dipimpin.

Jelas beliau, UMNO dilihat mampu menjadi parti utama yang memimpin kerajaan dan tidak lagi bergantung kepada pihak lain.

“Jika mahu bertanding lebih 120 kerusi, tiada jalan lain iaitu bergerak solo sekali gus menjadi Perdana Menteri.

“Namun, ia memerlukan kesatuan kita termasuk di peringkat pimpinan tertinggi. Mana yang merajuk kita pujuk, yang keluar kita tarik semula melalui jawatankuasa khas,” katanya ketika ditemui pada Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda bahagian itu yang dirasmikan Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Mohd. Hairi Mad Shah di Dewan Seri Kerayong, Kapar di sini, malam tadi.

Utusan Malaysia pada 8 Jun lalu melaporkan UMNO Selangor mahu kembali menjadi parti dominan dan bukannya dilabel sekadar pelengkap pada PRU16 akan datang.

Pengerusi Badan Perhubungannya, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, setiap ahli di peringkat akar umbi perlu sentiasa memahami aspirasi itu dan pihaknya telah merangka pelan yang dibincangkan di peringkat pengurusan parti berkenaan.

Dalam pada itu, kata Mohd. Affifi, persidangan pihaknya mengusulkan dua perkara utama iaitu had umur Ketua Pemuda ditetapkan bawah 40 tahun dan kerusi Parlimen Kapar perlu dikekalkan kepada UMNO.

“Dengan berkuat kuasanya Undi 18, Ketua Pemuda UMNO wajar di bawah 40 tahun supaya dasar dan gerakan parti lebih seiring dengan kehendak semasa. 

“Selain itu, Kapar perlu kekal ditandingi UMNO kerana jumlah pengundi Melayu mencecah 70 peratus,” ujarnya yang juga berkata UMNO bahagian itu giat merancang pelbagai strategi dan program mendekati rakyat dalam usaha memperkukuhkan kedudukan menjelang PRU16.

Sementara itu, Mohd. Hairi berkata, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan pimpinan parti dalam menilai setiap usul yang dibawa.

“Setakat ini belum ada mana-mana usul dibawa ke peringkat tertinggi kerana persidangan bahagian masih berlangsung.

“Segala usul itu akan diteliti dan diputuskan sebelum dibawa ke Perhimpunan Agung UMNO pada November depan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN