‘Tujuh tan padi sehektar tidak realistik’

‘Tujuh tan padi sehektar tidak realistik’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Sasaran kerajaan untuk meningkatkan hasil padi negara kepada tujuh tan metrik sehektar semusim sukar dicapai dalam masa terdekat, berikutan sistem saliran yang daif dan ancaman keladi agas yang merosakkan tanaman.

Bagi pesawah, pengeluaran yang disifatkan cukup tinggi ketika ini adalah sekitar lima atau 5.5 tan metrik sehektar semusim.

Masalah sistem pengairan yang masih teruk menyukarkan pesawah meningkatkan pengeluaran hasil padi.

Seorang pesawah, Mohd. Noor Hashim, 62, berkata, sistem pengairan yang uzur di banyak kawasan sawah memaksa mereka mengeluarkan belanja sendiri untuk membeli pam air.

“Kalau hujan kurang, pesawah kena keluarkan duit sendiri lagi. Situasi benih tidak berkualiti, pembekalan racun dan baja yang agak lewat setiap kali musim penanaman padi yang menjejaskan pesawah juga antara kegusaran yang menyukarkan lagi peningkatan hasil padi tempatan,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Kelmarin akhbar ini me­laporkan, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyasarkan peningkatan jumlah pengeluaran padi dalam negara sehingga tujuh tan metrik semusim.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu dilaporkan berkata, projek penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun di kawasan Muda seperti yang diminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat mampu mencukupkan keperluan beras dalam negara.

Kata Mohamad, hasil pengeluaran padi sebanyak tiga hingga empat tan metrik semusim perlu dipertingkat sehingga tujuh tan metrik dengan penamaan lima musim dalam tempoh dua tahun.

Sementara itu, Mohd. Noor berkata, penanaman padi lima kali dalam tempoh dua tahun juga agak sukar direalisasikan dan ia mungkin hanya mampu dilaksanakan di kawasan-kawasan tertentu sahaja.

Katanya, kerajaan perlu melihat semua masalah ini khususnya berkaitan soal saliran yang masih lagi teruk di kebanyakan kawasan.

“Masalah ini bukan baharu malah sudah berlarutan puluhan tahun dengan para pesawah tetap berdepan masalah sama,” katanya.

Di Perlis antaranya, masalah infrastruktur khususnya sistem pengairan yang tidak ter­urus menjadi antara kekangan kepada negeri ini untuk melaksanakan penanaman padi lima kali dua tahun secara teratur dan menyeluruh.

Bagi mengatasi masalah itu, Perlis memerlukan peruntukan kira-kira RM200 juta untuk menyelesaikan isu sistem pengairan di hampir keseluruhan kawasan penanaman padi di negeri ini yang sekali gus mampu membantu me­ningkatkan produktiviti hasil pesawah.

Selain Kedah, Perlis antara penyumbang utama penghasilan beras negara iaitu 11 peratus dan ia mampu ditingkatkan sehingga 15 peratus sekiranya pelaksanaan penanaman padi lima kali dua tahun itu berjalan dengan lancar.

Pengerusi Jawatankuasa Per­tanian negeri, Razali Saad berkata, masalah infrastruktur khususnya sistem pengairan menyukarkan matlamat kerajaan ke arah usaha pelaksa­naan penanaman padi lima kali dua tahun bagi membantu meningkatkan penghasilan pa­di negara itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN