KLANG: Kerja-kerja peringkat awal pembinaan kompleks baharu Stadium Shah Alam akan bermula antara Oktober hingga November ini selepas proses perincian reka bentuknya selesai.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI), Datuk Saipolyazan M. Yusop berkata, proses tersebut adalah fasa seterusnya selepas kerja-kerja perobohan selesai beberapa hari sebelum jangkaan pada 30 Jun lalu.
“Proses perobohan melibatkan peruntuhan substruktur seperti piling dan pile cap yang dipecahkan. Struktur terakhir yang dirobohkan ialah bahagian superstruktur dan semua bahan seperti batu konkrit digunakan semula bagi menimbun tapak stadium baharu,” katanya ketika ditemui, semalam.
Jelasnya, antara kerja awal yang akan dilakukan adalah pemasangan coarding atau penandaan sempadan pembinaan bagi Fasa 1 pembinaan stadium berkenaan.
“Fasa pertama pembangunan merangkumi pembinaan stadium baharu, kawasan letak kereta, kawasan terbuka dan Jubilee Park yang akan berfungsi sebagai taman rekreasi untuk orang awam.
“Memandangkan kawasan asal adalah rendah, kita tingkatkan ketinggian tapak stadium antara tiga hingga empat meter lebih tinggi daripada sebelumnya,” ujarnya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan penyerahan Surat Setuju Terima bagi Pembangunan Semula Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) yang diserahkan MBI kepada Pengarah Urusan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB), Datuk Imran Salim.
MRCB melalui anak syarikatnya Lembaran Prospek Sdn. Bhd. dilantik sebagai pemaju bagi pembinaan semula projek tersebut yang bermula pada Mei lalu.
Saipolyazan berkata, pembinaan stadium baharu akan dibina menggunakan kaedah konvensional berbanding sistem pembangunan industri (IBS) bagi mengurangkan kos.
“IBS lebih cepat dan bersih kerana komponen seperti beam dan panel disiapkan di luar dan hanya dipasang di tapak. Tetapi kosnya lebih tinggi. Jadi kita ambil pendekatan menggunakan kaedah konvensional,” jelasnya.
Stadium ikonik yang merupakan rumah kepada pasukan The Red Giants itu mula dirobohkan pada awal Julai tahun lalu bagi memberi laluan kepada pembangunan semula KSSA.
Projek di Seksyen 13, Shah Alam itu melibatkan komponen-komponen utamanya seperti Stadium Mini, Stadium Malawati (stadium tertutup) dan kompleks renang.
Kompleks sukan yang baharu nanti akan mengandungi pelbagai kemudahan termasuk hotel dan pusat beli-belah yang bersambungan dengan Stesen Aliran Transit Ringan (LRT). – UTUSAN