PETALING JAYA : Pendidikan antirasuah perlu diperkasakan melalui modul pemikiran integriti, latihan praktikal serta penyampaian menggunakan teknologi interaktif dan bukan hanya tertumpu kepada ceramah semata-mata.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, pendidikan antirasuah menerusi pembabitan mahasiswa dalam Kor Sukarelawan Mahasiswa Antirasuah (Kor SUAR) bukan sahaja mendidik mereka menjadi warga bertanggungjawab.
“Malah turut meningkatkan nilai jati diri apabila melangkah ke alam kerjaya,” katanya pada Majlis Pelancaran dan Pemakaian Pangkat Pegawai Kehormat Kor SUAR Universiti Malaysia Kelantan (UMK), di sini hari ini.
Dalam majlis itu, UMK menjadi universiti kedua di Malaysia selepas Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu yang menubuhkan Kor SUAR.
Pendaftar UMK, Khairul Eruwan Abdul Halim telah dilantik sebagai Komandan Kor SUAR UMK dengan pangkat Penolong Pesuruhjaya Kehormat, manakala Raja Azlan Raja Ismail menerima watikah pelantikan sebagai Timbalan Komandan Kor SUAR UMK dengan pangkat Penguasa Kanan Kehormat.
Dalam pada itu, Azam menyifatkan penubuhan Kor SUAR UMK sebagai amalan terbaik dalam kalangan institusi pengajian tinggi negara dan wajar dicontohi universiti lain serta pada masa sama mendidik generasi pelapis yang tegas menolak rasuah.
“Tahniah diucapkan kepada UMK atas penubuhan Kor Suar ini,” jelasnya.
Sementara itu, Naib Cancelor UMK, Profesor Dr. Arham Abdullah berkata, penubuhan Kor SUAR bukan sekadar aktiviti kokurikulum, tetapi manifestasi tekad universiti untuk melahirkan pelapis kepimpinan negara yang utuh, berprinsip dan menjunjung nilai integriti.
“Inisiatif ini selari dengan gagasan Malaysia MADANI yang menekankan nilai keadilan, integriti dan tatakelola baik sebagai teras pembangunan negara,” jelasnya.
Turut hadir Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Ahmad Nizam Ismail; Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik SPRM, Hisyam Mohd Yusoff; Pengarah SPRM Kelantan, Rosli Husain; Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid dan Pengarah SPRM Pahang, Mohd Shukor Mahmud serta pengurusan tertinggi UMK.