SANDAKAN: Seorang lelaki warga emas melecur di bahagian tangan dan belakang badan ketika cuba menyelamatkan diri dalam kebakaran membabitkan tiga rumah pekerja termasuk sebuah rumah jenis empat pintu di KLK Minat Teguh, Batu 23, dekat sini, semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata, seramai 14 anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi sejauh 41 kilometer selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.55 malam.
“Setibanya di lokasi, kita berusaha menjalankan operasi pemadaman api. Tiga rumah pekerja jenis tidak kekal membabitkan dua unit rumah dan satu unit jenis empat pintu terbakar 100 peratus.
“Seorang warga emas berusia 68 tahun didapati melecur di bahagian tangan dan belakang badan ketika cuba menyelamatkan diri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, mangsa sudah diberi rawatan awal sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
“Kebakaran itu turut memusnahkan sebuah Proton Saga. Api berjaya dikawal daripada merebak pada pukul 10 malam dan operasi ditamatkan pada 10.33 malam,” katanya.
Beliau berkata, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. – UTUSAN







