KUALA LUMPUR: Tindakan mengibar bendera Israel dan menampal tulisan Hebrew bertentangan dengan dasar negara dan melangkaui batas politik kerana menyentuh soal prinsip serta maruah tanah air.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau bersetuju dengan tindakan sewajarnya terhadap individu yang menggunakan tulisan Ibrani (Hebrew) yang jelas menyinggung perasaan rakyat.
Beliau berharap insiden itu menjadi pengajaran dan tidak lagi berulang pada masa hadapan.
“Penggunaan simbol seperti bendera, walau apa pun matlamatnya, adalah tidak wajar dan saya bersetuju agar pihak polis di peringkat daerah mengambil tindakan yang sewajarnya.
“Tiada negara di dunia yang akan berdiam diri apabila simbol penjajahan atau unsur yang mengguris sentimen rakyat digunakan secara terbuka.
“Sewaktu penjajahan dahulu pun, mereka yang mengangkat bendera penjajah dianggap sebagai pengkhianat. Maka, situasi berkaitan bendera ini juga tidak boleh dikompromi,” katanya semasa Sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Baru-baru ini, pemilik pacuan empat roda di Melaka dikesan tular memaparkan pelekat bertulisan Hebrew, sebaliknya dia bukan cuba menyebarkan mesej pro-Israel, sebaliknya merupakan peminat tulisan itu.
Selain itu, tular di media sosial video menunjukkan bendera Israel dikibarkan dalam program Pelayaran Solidariti Kelantan Untuk Gaza di Sungai Kelantan sekali gus menimbulkan kekeliruan dan rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat. – UTUSAN







