KUALA LUMPUR : Menjual jersi tiruan bola sepak Piala Dunia pada harga yang tidak munasabah kepada pelancong asing di Jalan Petaling di sini menjadi taktik segelintir peniaga meraih keuntungan berlipat ganda.
Kegiatan yang dipercayai didalangi warga tempatan dengan menggajikan pekerja asing itu bagaimanapun terbongkar selepas diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur semalam.
Semasa tindakan serbuan, ada antara pekerja premis warga asing melarikan diri.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri KPDN Kuala Lumpur, Mohd. Shahran Mohd. Arshad berkata, operasi yang bermula pukul 6 petang itu menyerbu lima premis membabitkan satu stor serta empat gerai.
Menurutnya, sebanyak 5,403 helai jersi disyaki tiruan bernilai RM270,150 telah disita.
“Enam pekerja warga Bangladesh serta Myanmar termasuk seorang wanita berusia lingkungan 20 hingga 30-an telah ditahan.
“Dipercayai warga asing terbabit berperanan sebagai pekerja dengan dibayar gaji,” katanya kepada media di sini hari ini.
Beliau berkata, temu bual rata-rata pelancong yang datang mendakwa jersi terbabit dijual dengan harga tinggi.
Tambahnya, untuk warga tempatan, ia dijual sekitar harga RM50 sehelai namun pelancong mencecah lebih RM100.
“Pemeriksaan di gerai-gerai jualan ini rata-rata gred jersi merangkumi gred A dan B, manakala stor yang turut menempatkan mesin khas bagi mencetak nama serta nombor,” ujarnya.
Dedahnya, kegiatan haram itu mampu menjual sehingga 100 helai sehari yang membawa pulangan RM5,000 ketika musim Piala Dunia.
“Siasatan awal mendapati premis melibatkan sindiket berbeza dan tindakan akan diambil untuk mengesan pemilik premis, sewaan dan lain-lain,” jelasnya.
Jelasnya, pengunjung Jalan Petaling khususnya dinasihatkan agar melaporkan kepada KPDN sebarang kes berkenaan penjualan barang tiruan untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Akta Cap Dagangan 2019,” katanya. – UTUSAN








