10,500 jersi tiruan Piala Dunia bernilai RM375,000 dirampas

10,500 jersi tiruan Piala Dunia bernilai RM375,000 dirampas

SEBAHAGIAN jersi tiruan pelbagai pasukan yang bertanding dalam kejohanan Piala Dunia FIFA 2026 digempur Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (KPDN WPKL) hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebuah stor di Jalan Kerdas 4, Jalan Gombak disyaki menyimpan jersi tiruan pelbagai pasukan yang bertanding dalam kejohanan Piala Dunia FIFA 2026 digempur Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (KPDN WPKL) hari ini.

Pengarah KPDN WPKL, Mohd. Sabri Seman berkata, serbuan dilakukan hasil risikan selama seminggu dengan menahan seramai tiga individu tempatan berusia 30-an yang berperanan sebagai pekerja di premis terbabit.

“Kita melihat ketika musim panas World Cup ini agak lebih sikit dan berleluasa penjualan dan penyimpanan jersi-jersi bola sepak yang tidak sah taraf.

“Siasatan awal mendapati, ribuan jersi ditemui dan mereka menjual baju berkenaan melalui jualan secara langsung (live) di media sosial pada harga di antara RM30 hingga RM50 sehelai,” katanya dalam sidang akbar selepas operasi di sini hari ini.

Serbuan pukul 3.30 petang itu dijalankan dengan kerjasama pemilik cap dagangan selepas mengesan kegiatan penjualan dan pengedaran barangan yang disyaki melanggar hak harta intelek.

Mohd. Sabri berkata, premis itu dipercayai telah beroperasi selama dua tahun sebagai tempat simpanan stok dan aktiviti penjualan untuk pembeli secara atas talian dengan kadar sewaan RM2,000.

Sebanyak 10,500 helai jersi tiruan telah dirampas yang dianggarkan bernilai RM375,000 dan akan disiasat mengikut Akta Cap Dagangan 2019.

“Kita memandang serius terhadap aktiviti penjualan barangan tiruan kerana ia bukan saja melanggar hak pemilik cap dagangan malah boleh mengelirukan pengguna dan memberi kesan negatif pada ekonomi negara dan mewujudkan persaingan tidak adil.

“Tanggungjawab KPDN bukan saja menjaga hak pengguna tetapi menjadi amanah untuk menjaga hak dan kepentingan peniaga termasuk pemilik-pemilik cap dagang,” katanya.

Beliau turut mengalu-alukan kerjasama berterusan daripada pemilik cap dagangan berdaftar bagi memperkukuh usaha membanteras aktiviti pengedaran dan penjualan barangan tiruan di pasaran.

“KPDN KL akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan secara berkala di lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan tumpuan penjualan barangan tiruan mengikut pematuhan terhadap Akta Cap Dagangan 2019, Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Hak Cipta 1987.

“Individu yang disabitkan kesalahan di bawah Akta Cap Dagangan 2019 boleh didenda sehingga RM10,000 bagi setiap barangan yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjarakan sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Bagi syarikat atau pertubuhan perbadanan pula, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM15,000 bagi setiap barangan yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN