Konsert Muzik D.R.A.S. ditunda ke 31 Oktober 2026 - Utusan Malaysia

Konsert Muzik D.R.A.S. ditunda ke 31 Oktober 2026

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Gabungan empat kumpulan terkenal Indonesia menerusi Konsert Muzik D.R.A.S. terpaksa ditunda ke tarikh baharu iaitu pada 31 Oktober depan disebabkan beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan.

Selain tarikh bertukar, lokasi konsert juga diubah ke Idea Live Arena, Kuala Lumpur bagi menggantikan tempat asal di UNIFI Arena yang sepatutnya berlangsung pada 22 Ogos ini.

Pihak penganjur bersama iaitu KH Worldwide dan Star Planet memberitahu bahawa keputusan itu terpaksa dibuat demi melancarkan urusan kerja dan logistik perjalanan ahli kumpulan terbabit.

“Langkah penjadualan semula ini diambil bagi menyelaraskan beberapa faktor luar jangka yang melibatkan aspek operasi serta logistik siri jelajah artis. Penyesuaian dinamik ini sekali gus menegaskan komitmen tinggi pihak penganjur dalam memastikan sebuah persembahan bertaraf tinggi buat para peminat,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Dalam pada itu, pihak penganjur bagaimanapun yakin pertukaran lokasi baharu itu akan memberikan pengalaman yang lebih menarik dan berbaloi kepada semua penonton.

Justeru, sebab utamanya adalah kerana ruang di lokasi baharu itu lebih kecil dan rapat dan peminat boleh menonton persembahan dengan jarak yang lebih dekat dengan artis kegemaran mereka.

“Ini bukan sekadar konsert biasa, tetapi satu perayaan muzik Indonesia yang bakal mencetak sejarah tersendiri. Pihak penganjur menjanjikan sebuah malam yang penuh dengan susunan program khas, kolaborasi dinamik di pentas, serta koreografi memukau demi memastikan peminat pulang dengan memori yang tidak akan dilupakan,” katanya.

Namun begitu, penundaan ini disahkan tidak akan mengubah rancangan asal konsert yang akan menggabungkan kumpulan Dadali, Repvblik, Armada, dan Samsons di atas satu pentas.

Konsert gabungan ini amat dinantikan peminat kerana empat kumpulan besar ini akan mendendangkan lagu-lagu popular mereka seperti Disaat Aku Mencintaimu, Asal Kau Bahagia, Sandiwara Cinta dan Kenangan Terindah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN