KLUANG: Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyifatkan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini di Parlimen itu berlangsung secara sihat.
Beliau berkata, setiap calon yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Sembrong juga matang dalam kempen masing-masing tanpa sebarang provokasi dan tiada unsur kebencian dan perkauman.
Beliau berkata, dirinya syukur tempoh dua minggu ini berjalan dengan lancar tanpa sebarang provokasi terutama di kawasannya.
“Kempen dekat Sembrong ni Alhamdulillah tidak ada unsur-unsur hendak memecah belah, kita tidak layan politik-politik yang berunsur kebencian dan perkauman.
“Lebih-lebih lagi calon kita, seorang Cina, seorang lagi India, saya pula Melayu. Ini memerlukan keberanian untuk memastikan apa yang kita ada dapat dipertahankan dalam keadaaan politik kadang kala digunakan sebagai kesempatan sementara untuk memecah belahkan masyarakat,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini hari ini.
Beliau hadir untuk mengundi bersama isterinya, Datin Seri Marsilla Tengku Abdullah di pusat mengundi di Sekolah Agama Taman Sri Lambak, di sini. – UTUSAN







