Malaysia sasar jadi hab pendidikan tinggi ASEAN

Malaysia sasar jadi hab pendidikan tinggi ASEAN

ZAMBRY Abdul Kadir (duduk, dua kiri) bergambar bersama Pengerusi Suruhanjaya Pendidikan Tinggi (CHED) Filipina, Shirley C. Agrupis (duduk, tengah), Duta Kesatuan Eropah ke ASEAN, Sujiro Seam (duduk, kiri) dan delegasi-delegasi sempena Dialog Polisi Pendidikan Tinggi EU-ASEAN, di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia mahu menjadi hab pendidikan tinggi utama ASEAN dengan memperkukuh pengantarabangsaan sistem pendidikan serta pembangunan bakat.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, negara kini menempatkan lebih 130,000 pelajar antarabangsa dari lebih 160 negara, sekali gus membuktikan keupayaan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelajar serantau dan global.

“Kita berhasrat menjadi hab pendidikan di rantau ASEAN, pusat pertemuan di mana pelajar dari seluruh rantau dan dunia datang untuk belajar, berinovasi dan berkembang.

“Kami sedia bekerjasama dengan negara anggota ASEAN, rakan-rakan Eropah dan semua pihak berkepentingan untuk menjadikan pembangunan bakat dan kemahiran melalui pengantarabangsaan bukan sekadar aspirasi, tetapi realiti yang dapat dirasai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Dialog Dasar Pendidikan Tinggi EU-ASEAN: Enhancing Talents and Skills Development Through Internationalisation, di sini.

Berdasarkan QS World University Rankings, lima universiti tempatan yang mendapat pengiktirafan dunia disenarai dalam 10 universiti terbaik ASEAN.

Antara yang disenarai adalah Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Dalam pada itu, Zambry berkata, penganjuran Dialog Dasar Pendidikan Tinggi Kesatuan Eropah (EU)-ASEAN menjadi platform penting untuk memantapkan kerjasama strategik dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan pembangunan bakat antara kedua-dua rantau.

Tambahnya, sesi dialog itu turut membincangkan rangka dasar dan inisiatif baharu bagi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di peringkat serantau.

“Ia dihadiri mereka yang pakar dalam bidang ini kerana mesyuarat ini adalah lebih kepada mesyuarat khusus yang melibatkan polisi dan inisiatif.

“Apa yang dibincangkan hari ini adalah bagaimana EU dan ASEAN dapat merangka satu dasar baharu berkaitan TVET serta pembangunan bakat dalam kalangan negara anggota ASEAN,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN