BATU PAHAT: Peniaga kecil berharap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang bakal dipilih hari ini dapat membantu membuka akses pasaran lebih luas bagi membolehkan produk tempatan berkembang serta menembusi pasaran luar kawasan.
Mereka berkata, sokongan berterusan diperlukan bukan sahaja dari aspek bantuan kewangan, malah meliputi pemasaran digital, pensijilan serta peluang memperkenalkan produk kepada pengguna lebih ramai.
Pengusaha Mi Siput Parit Karjo, Ahmad Taufiq Nordin, 32, berkata, perniagaan kecil seperti miliknya masih berdepan cabaran apabila terlalu bergantung kepada jualan fizikal berbanding platform dalam talian.
Katanya, kira-kira 90 peratus jualan produknya masih bergantung kepada kaedah fizikal, manakala jualan dalam talian hanya menyumbang sekitar 10 peratus berikutan kekangan pengetahuan pemasaran digital.
“Kalau produk ini mahu pergi lebih jauh, kita perlukan bimbingan bagaimana menggunakan sistem dalam talian dengan lebih berkesan supaya produk Johor dapat dikenali lebih luas,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, bantuan bakal ADUN dalam menyediakan latihan digital serta membimbing peniaga kecil memahami kaedah pemasaran moden mampu membuka peluang pasaran baharu.
Katanya, kebergantungan kepada jualan fizikal serta pendapatan yang tidak menentu terus membelenggu pengusaha Mi Siput Parit Karjo, apabila keuntungan pernah jatuh serendah RM7 sebulan, sekali gus menyukarkan perkembangan perniagaan dilakukan.
Sementara itu, pengusaha Rempeyek Warisan Batu Pahat, Salbiah Sahar, 65, berkata produk tradisi tempatan perlu diberi ruang lebih besar supaya tidak terhenti begitu sahaja.
Menurutnya, walaupun faktor usia membataskan penglibatannya secara aktif, permintaan pelanggan terhadap produk yang diusahakan sejak 2012 masih menunjukkan potensi untuk berkembang.
Katanya, beliau berharap bakal ADUN dapat membantu pengusaha kecil mendapatkan peluang pemasaran lebih luas kerana produk tempatan mempunyai nilai ekonomi serta mampu membuka peluang pekerjaan.
Seorang lagi pengusaha kecil yang hanya mahu dikenali sebagai Alif Mohd. Ali, 26 berkata, peningkatan jualan dalam talian menjadi harapan utama kerana pasaran fizikal mempunyai had tertentu.
“Bimbingan berkaitan kandungan digital, jualan melalui media sosial dan strategi pemasaran mampu membantu lebih ramai peniaga kecil meningkatkan pendapatan serta mengembangkan produk tempatan,” katanya. – UTUSAN










