BUKIT KAYU HITAM: Jajaran baharu menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dengan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao berupaya merangsang pertumbuhan ekonomi Malaysia dan Thailand.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, projek itu bakal melancarkan urusan perdagangan, logistik dan rantaian bekalan selain menyemarak secara khusus pertumbuhan ekonomi kawasan sempadan.
“Hari ini (semalam) satu lagi detik bersejarah di negeri ini, khususnya di utara Semenanjung Malaysia, kita berdepan cabaran memacu pertumbuhan ekonomi demi kesejahteraan rakyat.
“Saya percaya keadaan sama turut dihadapi di selatan Thailand. Melalui projek baharu ini, kita berupaya menjadikannya sebagai asas merangsang pertumbuhan ekonomi di kedua-dua wilayah. Ini benar-benar satu pencapaian yang luar biasa,” katanya pada Majlis
Pembukaan dan Pengoperasian Laluan berkenaan, di sini semalam. Yang turut hadir, Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul dan delegasi kedua-dua negara.
Laluan berkenaan mula dibuka kepada semua pengguna jalan raya pada pukul 6 pagi (waktu Malaysia), hari ini dan susulan itu, pintu sempadan sedia ada yang menghubungkan Bukit Kayu Hitam ke Danok ditutup sepenuhnya 12 tengah malam semalam.
Sementara itu, Anutin berkata, Thailand melengkapkan semua rangkaian pengangkutan yang belum bersambung bagi memastikan rakyat dan barangan dari Malaysia dapat sampai ke utara Thailand, China dan destinasi lain dalam tempoh lebih singkat.
Katanya, komitmen berkenaan bagi memperkukuh hubungan logistik serantau yang lebih efisien sama ada melalui laluan darat atau laut.
“Saya mengesahkan bersama Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pengangkutan, Thailand akan melengkapkan semua rangkaian yang belum bersambung bagi memastikan pada masa hadapan rakyat, barangan dan apa sahaja dari Malaysia dapat sampai ke bahagian utara Thailand, malah seterusnya ke China dan mungkin juga ke Rusia dalam tempoh paling singkat,” katanya. – UTUSAN










