SPK dicadang serah calon hakim kepada Agong - Utusan Malaysia

SPK dicadang serah calon hakim kepada Agong

DOMINIC LAU HOE CHAI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perdana Menteri perlu melepaskan peranan dalam proses pelantikan jawatan tertinggi badan kehakiman negara bagi memastikan institusi tersebut bebas daripada campur tangan Eksekutif.

Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau berkata, sekiranya Eksekutif tidak mahu dikaitkan dakwaan campur tangan dalam pelantikan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan, maka badan itu harus menyerahkan sepenuhnya proses kepada Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK).

“Perdana Menteri tidak sepatutnya menjadi orang tengah dalam pelantikan jawatan kehakiman tertinggi negara. 

“Sebaliknya, SPK perlu diberikan kuasa untuk menyerahkan terus senarai calon kepada Istana Negara untuk pertimbangan dan perkenan Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam kenyataan hari ini 

Dominic Lau berkata, tindakan polis untuk menyiasat pendedahan memo mesyuarat SPK yang tular di media sosial mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 jelas menunjukkan bahawa pendedahan dokumen tersebut adalah tulen. 

Beliau mengkritik pentadbiran kerajaan semasa yang dilihat menghadapi sindrom penafian yang serius. 

“Sebagai contoh, arahan tahanan rumah bagi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang pada awalnya dinafikan berulang kali oleh kerajaan, namun akhirnya terpaksa diakui apabila kebenaran terbongkar sedikit demi sedikit.

“Sebab itu saya sama sekali tidak terkejut apabila kerajaan menolak untuk mengakui bahawa pendedahan memo mesyuarat ini adalah benar, kerana menafikan berkali-kali adalah taktik kerajaan untuk mengelirukan rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN