Solat jumaat pertama di lebuh raya 'Surau Madani'

Solat jumaat pertama di lebuh raya ‘Surau Madani’

IMAM 1 Masjid Pekan Labu Batu 10, Shafie Rajiman mengimamkan Solat Jumaat di Surau Madani di kawasan R&R Seremban Arah Selatan, hari ini. - UTUSAN/MOHD SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Buat julung kalinya solat Jumaat didirikan di Surau Madani kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban arah Selatan di sini hari ini selepas melakar sejarah sebagai surau pertama mendapat kebenaran menunaikan ibadah itu.

Seramai kira-kira 300 jemaah hadir menunaikan solat Jumaat pertama tersebut yang mana 60 daripadanya merupakan pemastautin tetap dan pekerja manakala selebihnya adalah pengguna lebuh raya.

Jemaah yang hadir itu melebihi kapasiti kemudahan surau berkenaan yang mampu menampung 150 jemaah lelaki pada satu-satu masa dengan surau perempuan turut digunakan untuk solat tersebut.

Pengarah Urusan Plus Malaysia Berhad (Plus), Datuk Nik Airina Nik Jaffar berkata, ini adalah detik bersejarah bagi PLUS dan industri lebuh raya dengan kejayaan pelaksanaan solat Jumaat pertama di kawasan R&R.

“R&R Seremban dipilih dengan mengambil kira beberapa faktor selain kebenaran daripada pihak berkuasa agama.

“Kami kena bincang dengan jabatan agama untuk melihat semua keperluan untuk menunaikan solat Jumaat, tidak boleh dilaksanakan sewenang-wenangnya,” katanya ketika ditemui di Surau Madani di sini hari ini.

Menurut Nik Airina, kemudahan surau yang besar di R&R Seremban dapat memenuhi jumlah pengguna lebuh raya yang singgah serta mengambil kira bilangan pekerja yang bermastautin di sebelum memutuskan untuk melaksanakan solat Jumaat.

Surau itu diberi kebenaran mendirikan solat jumaat selepas pengisytiharan yang disempurnakan Mufti Negeri Sembilan, Prof Madya Datuk Dr Faudzinaim Badaruddin, kelmarin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×