Surau di lebuh raya pertama boleh laksana solat Jumaat

Surau di lebuh raya pertama boleh laksana solat Jumaat

ZAKARIA Ahmad Zabidi (empat dari kiri) dan Faudzinaim Badaruddin (lima dari kiri) pada Majlis Pengisytiharan Kelulusan Mendirikan Solat Jumaat di Surau Madani R&R Seremban Arah Selatan, Lebuhraya Utara Selatan di Seremban semalam. – UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Surau Madani di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban Arah Selatan di Kilometer 274.6 Lebuhraya Utara-Selatan di sini menjadi surau R&R pertama di lebuh raya negara ini mendapat kelulusan untuk mengadakan solat Jumaat.

Pengisytiharan kebenaran itu disempurnakan Mufti Negeri Sembilan, Prof. Madya Datuk Dr. Faudzinaim Badaruddin semalam.

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Ir. Zakaria Ahmad Zabidi berkata, projek perintis itu me­rupakan usaha bersama pelbagai agensi termasuk kerajaan Nege­ri Sembilan dan Lembaga Lebuh­raya Malaysia bertujuan menyediakan kemudahan ibadah lebih baik di lebuh raya.

“Projek ini dilaksanakan berdasarkan keperluan komuniti setempat yang bekerja dan bermastautin di kawasan R&R Se­remban dan sekitar Labu serta Seremban.

“Berdasarkan tinjauan ke atas 94 orang yang terdiri daripada rakan niaga dan pekerja tetap di kawasan ini, kami dapati ada keperluan untuk solat Jumaat dilaksanakan di sini,” katanya.

Untuk itu jawatankuasa khas dibentuk bersama rakan niaga dan kakitangan PLUS untuk memastikan pelaksanaan solat Jumaat di surau berkenaan yang bermula Jumaat ini berjalan lancar.

“Fokus kami buat masa ini hanya di R&R Seremban arah selatan. Mungkin kami mengembangkan inisiatif ini ke R&R lain pada masa hadapan, bergantung kepada keperluan,” katanya.

Sebagai persediaan, surau berkenaan dinaik taraf dengan pemasangan mimbar, mihrab, sistem pembesar suara dan penubuhan Jawatankuasa Kariah Penaja yang terdiri daripada 93 orang pemastautin tetap, me­rangkumi pekerja dan rakan niaga di kawasan R&R tersebut.

Surau berkenaan mampu menampung sehingga 150 orang jemaah lelaki pada satu masa dan dibina dengan mengambil kira keperluan warga emas dan golongan berkeperluan khas.

Sementara itu, Faudzinaim berkata, kebenaran diberikan itu merupakan kebenaran sementara selaras dengan kaedah syariah yang membenarkan solat Jumaat dilaksanakan di tempat tertentu sekiranya wujud keperluan dan kesukaran bagi jemaah untuk ke masjid utama.

Kebenaran diberi sehinggalah surat pembatalan dikeluarkan oleh pihak jabatan dan solat Jumaat hendaklah didirikan secara berterusan.

“Ramai pekerja di kawasan ini tidak sempat keluar dari tempat kerja untuk ke masjid bagi solat Jumaat. Ini menyebabkan mereka terlepas menunaikan kewajipan fardu ain. Jadi dengan adanya kebenaran ini, mereka boleh melaksanakannya di sini,” katanya.

Walaupun secara prinsipnya solat Jumaat hanya boleh didirikan di masjid atau surau yang memenuhi keperluan komuniti tetap, situasi di lebuh raya yang melibatkan ramai musafir dan pekerja, tetap wajar diberi pertimbangan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×