Seram juga budak-budak kenal saya dengan karakter lelaki songsang - Zarif Ghazzi - Utusan Malaysia

Seram juga budak-budak kenal saya dengan karakter lelaki songsang – Zarif Ghazzi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Zarif Ghazzi, mengakui gembira dan seram pada masa yang sama apabila namanya mula menjadi tumpuan selepas karakter lelaki songsang,  Doktor Fakhrul dalam drama Seribu Tahun meledak.

Cerita Zarif atau Zarif Farahi Effie Ghazzi, 21, dia sering disapa peminat yang selalunya datang daripada kalangan budak-budak membuatkannya terkejut dan sedikit berjaga-jaga.

“Alhamdulillah, sejak kejayaan drama itu saya semakin dikenali. Sehingga budak-budak ada datang tegur ‘eh abang ini Doktor Fakhrul lelaki songsang itu kan?’.

“Bila dapat reaksi begitu, saya gembira dan seram pada masa yang sama. Adik itu kecil lagi tapi sudah tahu perkara begitu. Apapun saya tidak menyesal, tapi bersyukur ia membuatkan saya semakin matang dalam industri,” katanya.

Zarif ditemui Utusan Malaysia di teater Persiapan Seorang Aktor, baru-baru ini.

Menyedari peminatnya datang daripada generasi muda, Zarif tidak bercadang untuk memilih watak namun memastikan karakter lakonannya memberikan pengajaran besar kepada masyarakat.

“Saya selalu hadkan diri  di mana tidak kisah mahu bawa apa-apa karakter asalkan ia bukan ‘kosong’. Perlu ada mesej yang mahu disampaikan kepada penonton,” tegasnya.

Dalam pada itu, Zarif tidak menolak menjadi Doktor Fakhrul dalam Seribu Tahun telah membuka mata banyak pihak produksi menawarkannya peluang berlakon.

“Saya semakin banyak dapat tawaran berlakon selepas itu. Memang ini apa yang saya inginkan sejak dulu.

“Saya juga melihat apa yang dilalui dan impak yang diberikan pelakon terdahulu. InsyaAllah saya buat termampu untuk galas tanggungjawab itu,” katanya.


Dalam perkembangan lain, Zarif baru selesai menjalani penggambaran sebuah filem pendek ‘Rumah Menanti Cahaya’ di Jakarta yang menampilkan gabungan pelakon Malaysia dan Indonesia. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN