KANGAR: Pas sentiasa terbuka untuk semua jawatan termasuk Presiden dan Timbalan Presiden dipertandingkan dalam pemilihan parti itu bersempena Muktamar Tahunan Pas ke-71 pada September depan.
Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, bukan sekadar jawatan Naib Presiden malah dua jawatan tertinggi iaitu Presiden dan Timbalan Presiden Pas juga pernah ditandingi sebelum ini.
Katanya, Pas tidak pernah menutup pintu pertandingan, namun terpulang kepada perwakilan sama ada menolak atau mahu pertandingan khususnya bagi jawatan tertinggi parti.
“Setakat sekarang, saya masih tidak tahu sama ada akan berlaku pertandingan jawatan Presiden, Timbalan. Jika berlaku pertandingan atau sebaliknya, terserah kepada muktamar nanti,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, media melaporkan, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dikatakan memberi bayangan untuk berundur daripada jawatan tersebut atas faktor kesihatan, namun dinafikan pemimpin Pas sendiri.
Setakat ini, Dewan Pemuda Pas Kawasan Pengkalan Chepa difahamkan mencalonkan Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah yang sebagai Timbalan Presiden Pas.
Penyandang, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pula dilaporkan akan melihat terlebih dahulu kepada pencalonan terlebih dahulu.
Hashim berkata, Pas tidak seperti parti lain yang tidak berlaku pertandingan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden.
“Pas sentiasa terbuka jika ada pencalonan yang menepati syarat, terbuka untuk pertandingan,” katanya.-UTUSAN










