Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman bertentang Perlembagaan

Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman bertentangan Perlembagaan

TENGKU Maimun Tuan Mat ketika majlis perpisahan di Istana Kehakiman Putrajaya, semalam. – UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tindakan mendenda penganjur perhimpunan yang gagal memberikan notis lima hari kepada pihak berkuasa adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Keputusan sebulat suara itu diputuskan oleh panel lima hakim Mahkamah Persekutuan semalam yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.
Hakim Tengku Maimun dalam penghakiman terakhir sebagai Ketua Hakim Negara berkata, Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman (APA) itu adalah bertentangan dengan peruntukan Perkara 8 dan 10(1)(b).

Berdasarkan Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan, semua warganegara adalah sama di sisi undang-undang dan layak mendapat perlindungan sama rata.

“Peruntukan 9(5) APA menghukum penganjur perhimpunan dan bukannya peserta perhimpunan. Penganjur akan tetap dikenakan hukuman walaupun perhimpunan dijalankan dan berakhir secara aman hanya kerana tidak mematuhi Seksyen 9(1) (memberi notis lima hari),” kata Hakim Tengku Maimun.

Selain itu, panel se­bu­lat suara memutuskan bahawa Seksyen 9(5) itu bertentangan dengan Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan semua warganegara berhak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata.

“Kami mendapati bahawa subseksyen 9(5) adalah satu se­katan yang bersifat diskriminasi dan secara tidak seimbang mengehadkan hak kebebasan berhimpun secara aman yang di­jamin oleh Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan.

“Apabila meneliti subseksyen 9(5) APA dan implikasinya secara keseluruhan, kami dapati hujahan pemohon bahawa subseksyen 9(5) lebih merupakan satu larangan menyeluruh daripada satu sekatan adalah berasas.

“Pada pemahaman kami, perkataan ‘sekatan’ mencadangkan bahawa perbuatan yang dimaksudkan adalah dibenarkan tetapi Parlimen boleh mengenakan sekatan atau peraturan tertentu mengenai cara pelaksanaannya. Sebaliknya, ‘larangan’ adalah penafian sepenuhnya terhadap sesuatu hak,” kata Hakim Tengku Maimun.

Panel terbabit membuat keputusan itu dalam kes bekas Setiausaha Agung Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Amir Hariri Abdul Hadi bagi menentukan keabsahan peruntukan Seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman 2012 berhubung pertuduhan ke atas Amir Hariri dalam prosiding jenayah terhadapnya di Mahkamah Majistret, tiga tahun lalu.

Pada 26 Ogos 2022, Amir Ha­riri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas pertuduhan berkaitan perhimpunan Mana Kapal Tempur Pesisir (LCS) yang diadakan pada 14 Ogos 2022.

Selaku penganjur, beliau didakwa gagal memaklumkan pegawai polis yang menjaga da­erah Dang Wangi lima hari sebelum mengadakan perhimpunan di hadapan Kompleks Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman, pada 2 petang, 14 Ogos 2022.

Sebaik selesai memberikan penghakiman, prosiding di Mahkamah Persekutuan itu bertukar menjadi majlis perpisahan.

Beberapa wakil peguam bangkit memberikan ucapan selamat tinggal dan hari lahir kepada Hakim Tengku Maimun Tuan Mat dan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim.

Hakim Tengku Maimun menamatkan perkhidmatannya se­malam memandangkan hari ini beliau genap mencapai umur persaraan wajib manakala Hakim Abang Iskandar akan tamat per-khidmatan hari ini.

Peguam senior, Datuk Gurdial Singh Nijar turut dilihat sedikit sebak apabila menyampaikan penghargaannya.

“Tidak dinafikan persaraan Yang Amat Arif Tun turut disertai dengan pelbagai pencapaian dan pengiktirafan daripada banyak pihak termasuk para peguam.

“Walaupun kita tidak lagi me­lihat Yang Amat Arif duduk di kerusi hakim namun semangat Tun akan tetap ada. Saya akan sentiasa melihat Tun di situ,” kata peguam itu dalam nada sebak.

Hakim Tengku Maimun kemudian mengucapkan terima kasih di atas segala penghargaan dan sokongan yang diberikan kepada beliau dan Hakim Abang Iskandar menjalankan tanggungjawab me­reka.

“Saya ucapkan terima kasih atas segala penghargaan dan ucapan yang diberikan. Terima kasih atas segala sokongan yang diberikan terhadap badan kehakiman. Apabila badan ini ‘diserang’, anda semua mempertahankannya.

“Terima kasih dan saya ucapkan selamat maju jaya buat anda semua,” kata Hakim Tengku Maimun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN