Kesal tindakan ugut nelayan hadir perhimpunan bantah tambak laut - Utusan Malaysia

Kesal tindakan ugut nelayan hadir perhimpunan bantah tambak laut

AHMAD ZAKIYUDDIN ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak menghalang mana-mana pihak untuk menyuarakan pendapat berkenaan rancangan projek tambak laut perairan selatan negeri itu (PSI), namun perlu dilakukan secara profesional tanpa menjejaskan hak nelayan.

Pengerusi Jawatankuasa Taskforce Nelayan, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, ia termasuk menerusi perhimpunan yang dirancang sekumpulan nelayan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membantah projek itu di Teluk Kumbar dekat sini, Ahad ini.

Bagaimanapun, beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri I melahirkan rasa kecewa dan kesal dengan tindakan Persatuan Nelayan Pulau Pinang (PenMutiara) yang didakwa mewajibkan semua nelayan yang menerima elaun sara hidup dan subsidi minyak hadir ke perhimpunan itu atau bantuan tersebut akan disekat.

Malah, beliau difahamkan mesyuarat bersama-sama ketua unit nelayan telah bersetuju dan memutuskan tidak akan menyokong sebarang permohonan yang memerlukan pengesahan Ketua Unit Nelayan sekiranya ahli-ahli mereka tidak hadir ke perhimpunan itu tanpa sebab munasabah.

“Bagi Pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan selaku Pengerusi Jawatankuasa Taskforce Nelayan, saya mengecam tindakan PenMutiara kerana telah menggunakan pengesahan ketua-ketua unit untuk permohonan nelayan sebagai umpan hadir ke perhimpunan yang dirancang tersebut.

“Pihak persatuan seperti PenMutiara sepatutnya memberi keutamaan kepada kebajikan nelayan dan tidak harus digunakan sebagai ugutan untuk mendesak golongan nelayan supaya akur terhadap arahan hadir ke perhimpunan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zakiyuddin memberi jaminan kepada nelayan terlibat yang mana Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan (PPSN) yang ditubuhkan Jawatankuasa Taskforce Nelayan di Permatang Damar Laut, Gertak Sangul dan Sungai Batu sedia membantu nelayan terlibat sekiranya berdepan sebarang masalah.

Malah, ujar beliau, PPSN dengan kerjasama jabatan berkenaan telah membantu nelayan yang terkesan dengan Tindakan Ketua Unit bagi mendapat semula kelayakan mereka.

Dalam perkembangan sama, Setiausaha Persatuan Kebajikan Nelayan Bayan Lepas, Fajinah Jaafar, turut mengecam sekeras-kerasnya tindakan PenMutiara yang didakwa mengugut golongan nelayan supaya menghadiri perhimpunan membantah projek PSI, Ahad ini.

Jelas beliau, pihaknya tidak setuju sama sekali dengan tindakan ketua-ketua unit yang didakwa menyalahgunakan kuasa dan peranan dalam memberi pengesahan terhadap mana-mana permohonan nelayan sebagai ugutan untuk menyertai perhimpunan itu.

“Ketua-ketua unit dilantik oleh nelayan sendiri untuk menjaga kebajikan nelayan. Namun, dalam kes ini kita boleh lihat ketua-ketua unit telah terpesong dalam peranan mereka dan hanya mengikut arahan PenMutiara secara membuta tuli,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya