PETALING JAYA: Enam pertubuhan masyarakat sivil (CSO) menolak sebarang cubaan menukar kerajaan pada pertengahan penggal melalui jalan pintas kerana dikhuatiri menggagalkan pelaksanaan reformasi institusi secara menyeluruh dan konsisten.
Dalam kenyataan bersama, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Center), Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Projek Sama, Pusat KOMAS dan Badan Ketelusan Antarabangsa Malaysia menegaskan bahawa kestabilan politik merupakan asas utama bagi memastikan agenda reformasi institusi dapat dilaksanakan dengan berkesan, demi masa depan sistem demokrasi negara.
“Reformasi institusi akan terbunuh sekiranya politik negara tidak stabil. Disebabkan tiada pihak yang sentiasa menang, reformasi institusi sebenarnya menguntungkan semua parti dalam persaingan jangka panjang dan seharusnya didukung oleh semua pihak,” katanya, semalam.
Gabungan CSO itu menolak sebarang usaha menukar kerajaan di luar proses pilihan raya seperti yang berlaku ketika Langkah Sheraton yang disifatkan telah mengucar-ngacirkan pentadbiran negara ketika pandemik Covid-19.
“Jikalau ada pertukaran kerajaan, kerajaan seterusnya belum tentu mempunyai komitmen yang jelas dan bersungguh untuk melaksanakan reformasi institusi atau terlalu rapuh untuk melakukan sebarang perubahan yang bermakna.
“Kami ingin melihat pelaksanaan reformasi institusi yang dapat menyediakan gelanggang yang sama rata untuk semua parti menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16),” katanya.
Kata kenyataan itu, hanya dengan dukungan bersama antara kerajaan dan pembangkang serta iltizam politik yang konsisten merentas parti, barulah reformasi institusi dapat digerakkan secara menyeluruh dan memberi impak besar kepada rakyat.
“Kami sekali lagi menegaskan bahawa semua pihak, terutama kerajaan dan pembangkang, perlu mengangkat agenda reformasi yang tulen.
“Pembangkang juga memikul tanggungjawab terhadap rakyat untuk memainkan peranan semak dan imbang yang berkesan terhadap kerajaan demi kebaikan negara,” katanya.
Sementara itu, Ketua Cabang PKR Tenggara, Fakharuddin Moslim berkata,. Perhimpunan Turun Anwar di ibu negara disifatkan sebagai tindakan berunsur politik semata-mata dan bukannya jalan penyelesaian kepada isu negara.
Katanya, kenyataan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Afnan Hamimi Taib Azamudden bahawa himpunan itu tidak bertujuan menukar kerajaan tetapi sekadar mahu menyingkirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sudah cukup membuktikan wujudnya agenda peribadi di sebaliknya.
Menurut beliau, proses pertukaran Perdana Menteri hanya boleh dilakukan melalui Parlimen, bukannya menerusi protes di jalanan.
“Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri dengan sokongan majoriti Ahli Parlimen selepas Pilihan Raya Umum ke-15. Ia selari dengan Perlembagaan Persekutuan.
“Persoalannya, adakah Perikatan Nasional mempunyai jumlah mencukupi untuk membawa usul undi tidak percaya di Parlimen? Jika tidak, maka himpunan ini hanyalah retorik politik semata-mata untuk kekal relevan.
“Namun hakikatnya, ini bukan soal rakyat, bukan soal dasar, tetapi semata-mata politik dendam terhadap seorang individu,” katanya. – UTUSAN










