Sarawak Report: Rayuan ditolak gagal sedia terjemahan Bahasa Melayu - Utusan Malaysia

Sarawak Report: Rayuan ditolak gagal sedia terjemahan Bahasa Melayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini menolak rayuan Pegawai Khas bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali berhubung saman fitnah RM100 juta terhadap Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown.

Memuatkan artikel berkaitan…

Keputusan sebulat suara itu dibuat oleh panel tiga hakim diketuai Datuk Azizah Nawawi yang memutuskan kegagalan perayu, Mabel Sheela Mutthiah  untuk mengemukakan terjemahan artikel yang didakwa berunsur fitnah ke dalam Bahasa Melayu merupakan satu ketidakpatuhan terhadap peraturan mahkamah.

“Kami terikat dengan keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini bahawa adalah menjadi keperluan bagi perayu (untuk) mengemukakan terjemahan Bahasa Melayu bagi artikel yang dipertikaikan.

“Dalam kes ini, tiada terjemahan artikel disediakan dan ini jelas satu ketidakpatuhan terhadap Aturan 92 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

“Kami dapati tiada kesilapan boleh dirayu dalam keputusan Mahkamah Tinggi. Maka, rayuan ini ditolak dengan kos RM10,000,” kata Hakim Azizah.

Turut bersidang dalam panel itu ialah Datuk Azizul Azmi Adnan dan Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin.

Mabel, bekas Hakim Mahkamah Sesyen diwakili peguam-peguam Datuk David Gurupatham dan R. Venothani manakala Rewcastle-Brown diwakili peguam Guok Ngek Seong dan Phyllia Lim.

Saman itu difailkan Mabel pada 2019 berhubung tiga artikel diterbitkan dalam portal Sarawak Report termasuk artikel bertajuk ‘How AG’s Office Connived to Prevent a Second Post-mortem on Kevin Morais – Exclusive Expose’, yang mengaitkannya dengan penghantaran mesej kepada keluarga mendiang Kevin Morais.

Mabel menafikan dakwaan dalam artikel tersebut dan memfailkan saman bagi menuntut ganti rugi serta perintah mahkamah supaya artikel itu dipadam daripada laman web Sarawak Report.

Pada 2 Mei 2024, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan menyatakan bahawa keperluan untuk penyataan tuntutan lengkap dalam Bahasa Melayu adalah berdasarkan kedudukan bahasa itu sebagai bahasa kebangsaan.

Ia sebagaimana termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.

Hakim Raja Ahmad Mohzanuddin Shah menyatakan, Mabel membuat inferens mengenal maksud artikel-artikel itu yang didakwa salah satu daripada tiga artikel itu bersifat fitnah dan mencemarkan reputasinya, namun tidak mengemukakan sebarang terjemahan yang diperakui dalam Bahasa Melayu kepada Mahkamah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini