KUALA LUMPUR: Sektor kesihatan negara menerima peruntukan RM40 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi memperkukuh sistem penjagaan kesihatan dan mengurangkan beban kos rawatan rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu bagi mengurangkan perbelanjaan rakyat atau ‘out of pocket expenses’ untuk perkhidmatan penjagaan kesihatan.
“Skim Perubatan Madani antara ikhtiar penting kerajaan untuk memastikan akses penjagaan kesihatan yang lebih meluas, terangkum, berkualiti dan mampu dibayar untuk rakyat.
“Kita juga perlu tegas dalam menangani risiko kesihatan. Cukai pro-kesihatan akan diperluas daripada gula kepada produk seperti tembakau, vape dan alkohol, bukan sekadar untuk hasil, tetapi bagi mendorong perubahan tingkah laku dan membendung peningkatan NCD yang kian membimbangkan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Kata Anwar, lebih banyak projek pembinaan serta naik taraf hospital dan klinik kerajaan termasuk yang daif akan dilaksanakan.
Beliau berkata, rangka kerja pembangunan profesional sektor kesihatan peringkat kebangsaan juga akan dibangunkan untuk menangani isu keperluan sumber manusia.
“Ikhtiar ini merangkumi latihan pra-perkhidmatan, pelesenan dan pendaftaran, pengambilan, penempatan, serta pembangunan kerjaya bagi memastikan pengekalan bakat dalam sektor kesihatan.
“Pengurusan rekod kesihatan akan diperkukuh sebagai teras pendigitalan sistem kesihatan. Usaha ini akan memantapkan keupayaan saling kebolehkendalian merentas fasiliti kesihatan.
“Ini akan menyumbang kepada penjanaan analitik kesihatan berimpak tinggi yang diperkasa dengan AI sebagai usaha mempertingkat kualiti penjagaan kesihatan rakyat,” katanya. – UTUSAN