10,000 pekebun tanam nanas waktu malam

10,000 pekebun tanam nanas waktu malam

PENGERUSI Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh diberi penerangan oleh Mohd. Khairuzamri M. Salleh selepas merasmikan Program Pemindahan Teknologi Pengurusan Tanaman Nanas Negeri Melaka 2025 di Bukit Katil, Melaka hari ini. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kira-kira 10,000 pekebun nanas di seluruh negara tidak termasuk Sabah dan Sarawak akan melaksanakan penanaman nanas pada waktu malam (night farming) selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bermula 2027.

Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Mohd. Khairuzamri M. Salleh berkata, menerusi peruntukan RMK13 berjumlah RM300 juta, kaedah itu dapat mempertingkatkan sasaran pengeluaran daripada 400,000 tan metrik kepada 700,000 tan metrik bagi memenuhi permintaan tinggi eksport.

Beliau berkata, berdasarkan kajian awal, ia telah dilaksanakan beberapa pekebun kecil dan mendapati sangat berkesan dengan sasaran ditetapkan.

“Kita dapat lihat hasil tuaian tanaman dapat diperoleh lebih singkat iaitu dalam tempoh 11 bulan berbanding 14 bulan sebelum ini. Sehingga tahun depan, kajian giat dijalankan bukan sahaja untuk tanaman pusingan pertama tetapi untuk pusingan kedua dan ketiga, sebelum kaedah ini dibuat bagi 20,000 hektar tanaman nanas.

“Kita tumpu nanas jenis MD2 kerana ia mendapat permintaan yang tinggi bukan sahaja untuk pasaran domestik tetapi juga dieksport terutama ke Eropah, Timur Tengah, New Zealand dan Australia,” katanya pada Majlis Perasmian Program Pemindahan Teknologi Pengurusan Tanaman Nanas Negeri Melaka 2025 di Bukit Katil di sini, hari ini.

Mohd. Khairuzamri berkata, kaedah tersebut akan diintegrasikan dengan penggunaan tenaga solar bagi menjimatkan kos, selain dapat menjaga kelestarian alam sekitar.

Menurutnya, ia membolehkan sumber bekalan tenaga diguna pakai pada waktu malam bagi menjana aktiviti penanaman nanas

“Idea ini merupakan inovasi baharu yang dicipta bagi mengoptimumkan sumber tenaga boleh diperbaharui seperti solar,” ujarnya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN