SEPANG: Pelakon dan pelawak, Along Cham meluahkan rasa terkejut selepas menerima satu rakaman suara yang didakwa menjadi bukti kecurangan isterinya, Afreena Suhaimi.
Menurut Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamuddin Ahmad, 42, rakaman audio berkenaan akan dibentangkan kepada pihak mahkamah dalam prosiding yang dijadualkan berlangsung pada 3 Julai ini.
Katanya, bukti berkenaan terlebih dahulu didengar oleh peguam syarie yang mewakilinya, Muhammad Akmal Amzan, sebelum dikemukakan di hadapan hakim.
“Pada awalnya, saya sendiri terperanjat apabila mendengar rakaman tersebut, tetapi benda ini hakim perlu dengar.
“Peguam saya sudah dengar terlebih dahulu sebelum ditunjukkan depan hakim, bukannya secara tiba-tiba,” katanya ketika ditemui selepas prosiding kes pengesahan lafaz cerai taklik di Mahkamah Rendah Syariah Sepang, hari ini.
Tambahnya lagi, pihak defendan, iaitu isterinya turut tidak menyangka bukti tersebut akan dikemukakan dalam prosiding.
“Pihak sana pun terkejut juga. Mereka sangka saya hanya akan kemukakan dokumen berkaitan perkahwinan lalu.
“Tetapi ini semua bukti yang saya terima, termasuk daripada bekas suami Afreena sendiri,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Along turut mengesahkan terdapat beberapa bukti lain diperolehi yang menunjukkan Afreena berlaku curang ketika masih bergelar isteri sah.
Bagaimanapun, Along meluahkan rasa kesal apabila semua bukti berkenaan hanya diperoleh selepas rumah tangga yang dibina sejak April tahun lalu, musnah.
“Pun begitu, saya bersyukur Allah permudahkan urusan saya, cuma sedikit ralat kerana semua ini muncul selepas rumah tangga kami runtuh.
“Dia lupa yang dia berkahwin dengan artis walaupun saya tahu, saya ini tidaklah popular mana. Tetapi ramai yang datang menyampaikan kepada saya. Termasuk daripada orang sekeliling serta individu yang pernah rapat dengannya.
“Saya kahwin bukan untuk bercerai. Tapi nasi sudah jadi bubur. Saya tak cari pun semua bukti ini, tapi Allah bantu dan tunjukkan kebenaran,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Along turut menyatakan bahawa dia tidak mahu membuat sebarang spekulasi lanjut, sebaliknya menyerahkan kepada mahkamah untuk menilai kesemua bukti yang dikemukakan.
“Saya nak tengok apa pula ‘plot twist’ dari pihak sana nanti,” ujarnya ringkas.
Terdahulu, Afreena mendedahkan rumah tangga mereka mula dilanda masalah seawal dua bulan selepas perkahwinan berlangsung.
Afreena turut mendakwa berlaku lafaz cerai di luar mahkamah pada Julai tahun lalu, namun ia belum disahkan secara sah di sisi undang-undang.
Untuk rekod, Along dan Afreena mendirikan rumah tangga pada 4 April 2023.
Ini merupakan perkahwinan kedua buat Along selepas bercerai dengan penyanyi Zila Seeron pada September 2016.
Hasil perkahwinan terdahulu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Ahmad Daniel, 14, yang kini berada di bawah jagaan Along.