SEREMBAN: Kementerian Kewangan telah meletakkan syarat supaya setiap premis atau program kerajaan mematuhi prosedur dan peraturan halal dalam penyediaan makanan.
Justeru, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, siasatan terperinci akan dijalankan berhubung penganugerahan kontrak katering bernilai RM25.64 juta oleh Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) kepada sebuah syarikat yang tidak memiliki pensijilan halal.
Beliau berkata, pelantikan syarikat perkhidmatan katering dan penyajian makanan di premis kerajaan perlu mendapat kelulusan Kementerian Kewangan dan agensi berkaitan melalui sistem perolehan.
Katanya, Jakim tidak mahu menuding jari kepada mana-mana pihak sebelum maklumat lanjut diperoleh, kerana ada kemungkinan wujud kekeliruan mengenai isu itu.
“Kuasa itu terletak pada autoriti agensi berkenaan dan Kementerian Kewangan telah letakkan syarat. Contohnya, macam program hari ini (semalam) oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai Spring, USIM perlu pastikan pihak hotel ada sijil halal baru boleh dijalankan program.
“Kami pun sedang mendapatkan maklumat lebih terperinci bagaimana kita boleh bekerjasama dengan pihak berkaitan untuk menangani isu ini bersama secara harmoni.
“Maksudnya, kita tidaklah menyalahkan terus pihak berkaitan. Namun kita akan lihat dengan cara terbaik bagaimana hendak mengatasi isu lantikan syarikat yang tidak dipersijilkan halal untuk mengusahakan katering atau yang menyajikan makanan di premis itu (HCTM),” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Muka hadapan Utusan Malaysia semalam melaporkan, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 mendedahkan, syarikat itu yang dikenal pasti sebagai 0267299-T memperoleh tender membekalkan makanan kepada pesakit di HCTM dari Februari 2024 hingga Februari 2027.
Menurut laporan itu, perolehan tender tersebut bertujuan ‘menyediakan sajian makanan yang halal kepada pesakit HCTM bersesuaian status Dapur Utama yang mendapat pensijilan halal daripada Jakim’.
Ditanya sama ada semua hospital kerajaan perlu memastikan pengendali makanan dilantik mempunyai sijil halal, beliau berkata, ia berkaitan dengan prosedur perolehan dan Jakim bersedia membuat pengesahan halal sekiranya diminta.
Mengulas perkembangan siasatan program motivasi rumah tangga eHati, Sirajuddin berkata, Jakim tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan kerana dibimbangi mengganggu proses siasatan. –UTUSAN











