KUALA LUMPUR: Polis menerima beberapa bukti membabitkan siasatan kes pecah masuk kediaman cucu Tun Dr Mahathir Mohamad di Bukit Ledang, di sini, Rabu lalu.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, pihaknya ada menerima beberapa bukti yang kini sedang dianalisis pihak forensik bagi membantu siasatan.
“Ada beberapa bukti diterima untuk bantu siasatan dan memerlukan masa dari forensik. Kami sedang kesan cap jari dan sebagainya dan ia perlukan masa,” katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Menurutnya, pihak polis turut meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar kediaman tersebut.
Jelasnya, ini kerana CCTV di kediaman terbabit setakat ini tidak dapat membantu siasatan memandangkan simpanan memori terhad.
“Ia merupakan kediaman lama, hanya diduduki oleh pembantu rumah dan pengawal keselamatan.
“Setakat ini tiga individu dirakam keterangan termasuk pemilik rumah (cucu Tun M), pengawal keselamatan dan pembantu rumah,” katanya.
Kelmarin polis mengesahkan kes pecah masuk kediaman cucu Tun M yang dianggarkan melinatkan kerugian kira-kira RM1.8 juta membabitkan barangan berbentuk barang kemas lama, serta barangan peribadi milik penghuni rumah.
Difahamkan kejadian itu disedari oleh pembantu rumah pada 3 petang Rabu lalu selepas mendapati pintu pagar di bahagian belakang rumah dipotong dan biliknya dimasuki pencuri. – UTUSAN