PN persoal Hakim Besar Malaya pegang dua jawatan tertinggi

PN persoal Hakim Besar Malaya pegang dua jawatan tertinggi kehakiman

TAKIYUDDIN HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PN persoal Hakim Besar Malaya pegang dua jawatan tertinggi kehakiman

NURUL IRDINA SUMALI
[email protected] 

PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) mempersoalkan pelantikan Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Datuk Mohammed Hashim sebagai pemangku dua jawatan tertinggi dalam badan kehakiman iaitu Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan secara serentak.

PN menyifatkan langkah tersebut sebagai pelik, tidak pernah berlaku dalam sejarah kehakiman negara serta menimbulkan kecurigaan besar terhadap prinsip kebebasan badan kehakiman yang menjadi asas kepada sistem demokrasi berparlimen.

Ketua Whip Ahli Parlimen PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, perkembangan itu turut mencetuskan persoalan terhadap ketelusan pelantikan dan kemungkinan wujudnya campur tangan pihak eksekutif dalam badan kehakiman negara.

“Ini satu perkembangan luar biasa dan janggal serta belum pernah berlaku dalam sejarah perundangan negara. Ia sekali gus menimbulkan persoalan besar terhadap sistem pemisahan kuasa yang sepatutnya dipelihara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, lebih membimbangkan apabila pelantikan itu dibuat tanpa sebarang kenyataan rasmi daripada kerajaan, seolah-olah mengesahkan keputusan tersebut secara diam-diam.

“Mengapa pelantikan tetap bagi jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan masih tidak diumumkan walaupun penyandang terdahulu telah bersara beberapa hari lalu?

“Kegagalan Perdana Menteri untuk mengambil tindakan segera dalam hal ini membuka ruang kepada pelbagai persepsi negatif dan kemungkinan wujudnya campur tangan yang disengajakan,” katanya.

Tambahnya, Perdana Menteri ketika ini sudah pun menguasai kedua-dua cabang kuasa eksekutif dan legislatif secara mutlak, dan kekosongan dalam institusi kehakiman utama dibimbangi boleh dimanipulasi bagi mengukuhkan kuasa.

Sehubungan itu, PN mendesak Perdana Menteri agar segera memberikan penjelasan kepada rakyat mengenai kelewatan pelantikan tetap tersebut.

“Tiga perkara utama yang perlu dilakukan ialah memberi penjelasan segera kepada rakyat, menafikan secara terbuka sebarang niat campur tangan dalam kebebasan kehakiman, serta menyegerakan proses pelantikan tetap mengikut lunas Perlembagaan dan kelaziman perundangan,” katanya.

PN turut menegaskan bahawa badan kehakiman adalah benteng terakhir mempertahankan hak rakyat dan menjamin keadilan tanpa takut atau pilih kasih.

“Sebarang kelewatan atau percubaan untuk menguasai institusi ini merupakan pencabulan kepada konsep pengasingan kuasa dan prinsip ‘rule of law’. Keadilan yang lambat ditegakkan hakikatnya adalah keadilan yang dinafikan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN