JAKARTA: Wilayah kedaulatan Indonesia telah bertambah secara sah sebanyak 127.3 hektar di Pulau Sebatik, Kalimantan Utara, selepas selesai proses penetapan persempadanan darat dengan Malaysia.
“Penyiapan penetapan sempadan di Pulau Sebatik merupakan manifestasi nyata kejayaan diplomasi damai yang memperkukuh kedaulatan wilayah Indonesia,” kata Ketua Staf Presiden Muhammad Qodari dalam kenyataan di Jakarta seperti dilaporkan Antara pada Rabu.
Berdasarkan perjanjian itu, 127.3 hektar tanah yang sebelum ini milik Malaysia kini secara sah menjadi milik Indonesia. Sementara itu, kira-kira 4.9 hektar kawasan di sepanjang sempadan lama Indonesia kini menjadi sebahagian wilayah Malaysia.
Sebagai langkah memperkukuh fungsi kawasan sempadan, kerajaan telah memperuntukkan bajet sebanyak 86 bilion rupiah (RM20 juta) untuk tahun 2026. Dana ini digunakan untuk operasi 15 pos lintasan sempadan (PLBN) di bawah pengurusan Badan Nasional Pengelola Perbatasan (BNPP).
Dari Disember 2016 hingga Oktober 2024, Indonesia telah membina 15 PLBN daripada 18 yang dirancang di pelbagai wilayah. Antara PLBN yang telah beroperasi termasuk Entikong, Motaain, Skouw dan Sebatik, di mana penetapan sempadan darat baru sahaja selesai.
Qodari menjelaskan bahawa PLBN kini telah berubah menjadi pusat pertumbuhan ekonomi baharu di kawasan sempadan. Lebih 2.4 juta orang direkodkan melintasi 15 PLBN tersebut, dengan jumlah nilai perdagangan mencecah 13.5 trilion rupiah (RM26 bilion).
Pejabat Staf Presiden (KSP) terus menjalankan pemantauan dan pengesahan lapangan secara berkala bagi memastikan operasi PLBN berjalan lancar. Langkah ini termasuk menyelaras pengesahan Perjanjian Lintas Sempadan (BCA) antara Indonesia–Malaysia serta Indonesia–Timor-Leste.
Kewujudan PLBN strategik seperti Motaain di Nusa Tenggara Timur dan Skouw di Papua terbukti meningkatkan kunjungan pelancong antarabangsa dan eksport produk tempatan. – AGENSI










