Penjaja Desa Pandan lega, DBKL tangguh roboh gerai

Penjaja Desa Pandan lega, DBKL tangguh roboh gerai

JOHARI Abdul Ghani bersama Dr. Zaliha Mustafa melakukan tinjauan ketika mesyuarat khas berkaitan penjaja kecil di kawasan berdekatan Pangsapuri Anggerik E2, Desa Pandan, Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penjaja di sembilan tapak perniagaan sekitar Desa Pandan di sini boleh menarik nafas lega apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi jaminan tidak akan meneruskan tindakan perobohan premis buat masa ini.

Langkah itu diambil selepas Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani turun padang bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd Sharif bagi meninjau sendiri keadaan di tapak berkenaan hari ini.

Johari berkata, hasil lawatan serta perbincangan bersama penjaja, DBKL dan agensi terlibat, semua pihak bersetuju mencari penyelesaian yang terbaik tanpa menjejaskan mata pencarian penjaja serta memastikan pembangunan infrastruktur dapat diteruskan.

“Buat masa ini, perobohan tidak akan diteruskan. Namun, penjaja perlu akur dengan keperluan untuk menyusun semula gerai agar lebih teratur dan mematuhi garis panduan.

“Ada antara binaan gerai yang dibina seolah-olah kedai kekal menggunakan batu-bata. DBKL perlu pastikan ia selari dengan konsep gerai penjaja,” katanya kepada pemberita selepas lawatan itu.

Tambahnya, DBKL juga akan mempertimbangkan untuk mengeluarkan semula lesen perniagaan yang dibatalkan sebelum ini, namun penjaja perlu memberi komitmen terhadap aspek kebersihan, tidak meletakkan meja dan kerusi di bahu jalan serta memastikan kawasan sentiasa tersusun dan kemas.

Terdahulu, penjaja di kawasan terbabit sebelum ini diarahkan mengosongkan premis bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembesaran jalan di Jalan 2/76D. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN