SEREMBAN: Peniaga yang telah ditawarkan unit MyKiosk di Negeri Sembilan diberi tempoh dua minggu untuk memulakan operasi perniagaan mereka jika tidak tawaran itu akan ditarik balik dan diberikan kepada peniaga lain.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J. Arul Kumar berkata, sikap tidak bersungguh-sungguh dan degil segelintir peniaga telah dikenal pasti sebagai punca utama projek di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu tidak dapat beroperasi dengan baik.
Katanya, walaupun 90 peratus kiosk telah diisi dalam tempoh dua minggu lalu, hanya sebahagian daripadanya yang beroperasi.
“Setiap hari mereka minta kiosk tetapi apabila ditawarkan mereka tidak tampil untuk memulakan perniagaan. Ini bukan masalah sistem, tetapi masalah sikap,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.
Katanya, antara kawasan yang dikesan adalah di Taman Bunga Raya, Mantin, di mana hanya enam daripada 10 kiosk beroperasi walaupun semuanya telah ditawarkan.
Menurut Arul, pihak berkuasa tempatan (PBT) turut menyediakan insentif tambahan seperti pengurangan sewa daripada RM150 kepada RM100 serta penurunan deposit daripada RM800 kepada kira-kira RM200 bagi menarik lebih ramai peniaga.
“Saya memberi tempoh dua minggu kepada peniaga yang masih belum memulakan operasi untuk bertindak, sebelum lot-lot kosong ditarik balik dan ditawarkan kepada peniaga lain.
“Setakat ini, 10 peratus daripada keseluruhan kiosk di Negeri Sembilan masih belum beroperasi,” katanya.
Beliau dalam pada itu berkata, masalah lokasi tidak strategik membabitkan 13 unit MyKiosk di Taman Tuanku Jaafar telahpun diselesaikan dan dipindahkan ke Taman Senawang Perdana, dan kini telah diisi sepenuhnya. – UTUSAN










