PUTRAJAYA: Kerajaan mengakui pelaksanaan Pengurusan Sumber Air Bersepadu (IWRM) secara holistik masih berdepan beberapa kekangan dan halangan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, antara kekangan dihadapi termasuk isu penyelarasan antara agensi, keterbatasan sumber kewangan dan tahap kesedaran.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, selain itu, kapasiti teknikal juga
masih perlu dipertingkatkan bagi memastikan perubahan daripada segenap lapisan.
“Justeru, saya berharap Forum Air Malaysia 2025 ini harus dijadikan sebagai medan untuk memperkukuh
komitmen dalam mempercepatkan pelaksanaan IWRM secara lebih sistematik dan berkesan,” katanya ketika melancarkan forum itu di sini, hari ini.
Katanya, tiga pendekatan utama perlu diberi perhatian bagi mempercepatkan pelaksanaan IWRM iaitu pendekatan menyeluruh, inklusif dan berasaskan bukti.
Fadillah berkata, pengurusan air harus dilaksanakan secara holistik, merangkumi aspek bekalan, kualiti,
pengairan, banjir, dan pemuliharaan ekosistem.
Menurutnya, penyertaan aktif semua pihak berkepentingan termasuk kerajaan, swasta, masyarakat sivil, institusi pendidikan dan komuniti akar umbi adalah amat mustahak.
“Sambutan Hari Air Sedunia Tahun 2025 Peringkat Kebangsaan yang telah menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat daripada pelajar, pemimpin agama, penjawat awam, hingga ke sektor swasta dalam satu platform advokasi nasional, adalah salah satu contoh pendekatan inklusif ini.
“Ketiga ialah pendekatan berasaskan bukti di mana keputusan dasar dan pelaksanaan program perlu berteraskan data saintifik, kajian impak dan indikator prestasi yang jelas,” katanya. – UTUSAN