Tiga maut, 15 lagi hilang akibat tanah runtuh di utara Pakistan

Tiga maut, 15 lagi hilang akibat tanah runtuh di utara Pakistan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KHAPLU: Tanah runtuh yang dicetuskan akibat hujan monsun lebat menghanyutkan beberapa kereta di lebuh raya pergunungan di utara Pakistan, mengorbankan sekurang-kurangnya tiga orang, manakala lebih banyak kenderaan dipercayai tertimbus di bawah runtuhan.

Banjir kilat, bangunan runtuh dan kejadian renjatan elektrik meragut 221 nyawa sejak musim monsun bermula pada akhir Jun, dengan jumlah hujan yang lebih lebat daripada biasa.

Lebin lapan kenderaan dihanyutkan dalam kejadian semalam, apabila hujan lebat mencetuskan tanah runtuh di sebuah lebuh raya di daerah Diamer, wilayah Gilgit-Baltistan, menurut pegawai kanan polis kepada AFP.

“Tiga mayat ditemukan dan lebih daripada 15 lagi masih hilang,” kata pegawai polis daerah, Abdul Hameed.

Beliau berkata, sekurang-kurangnya 10 kenderaan tertimbus di bawah runtuhan dan operasi menyelamat sedang dijalankan.

Jurucakap kerajaan Gilgit-Baltistan, Faizullah Faraq mengesahkan jumlah korban kepada AFP.

Wilayah itu merupakan destinasi pelancongan popular yang dikenali dengan pergunungan, lembah dan sungai, dengan Faraq berkata, ratusan pengunjung berjaya diselamatkan.

“Pasukan kerajaan membersihkan runtuhan dan mengiringi mereka keluar dari jalan pergunungan, manakala penduduk kampung tempatan menyediakan tempat perlindungan kecemasan dan bantuan,” kata Faraq.

Banjir di kawasan itu menghalang lebuh raya utama, merosakkan isyarat komunikasi, 50 rumah, empat jambatan, sebuah hotel dan sekolah.

Seluruh Pakistan turut terjejas, dengan 221 kematian dilaporkan di seluruh negara akibat insiden berkaitan musim monsun sejak 26 Jun.

Angka korban itu termasuk 104 kanak-kanak dan 40 wanita, manakala lebih 500 lagi cedera, menurut Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan Pakistan, hari ini.

Musim monsun menyumbang antara 70 hingga 80 peratus daripada jumlah hujan tahunan di Asia Selatan, dan di Pakistan ia berlangsung dari akhir Jun hingga September.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN