Meta dikecam siar iklan kutipan dana senjata untuk tentera Israel - Utusan Malaysia

Meta dikecam siar iklan kutipan dana senjata untuk tentera Israel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Syarikat teknologi gergasi, Meta, dikecam hebat selepas didapati menyiarkan ratusan iklan di Facebook, Instagram dan Threads yang mempromosikan kutipan dana untuk membeli peralatan ketenteraan termasuk dron dan kelengkapan taktikal bagi kegunaan batalion Angkatan Pertahanan Israel (IDF).

Pendedahan itu dibuat menerusi satu laporan oleh badan pemantau global, Ekō, yang mendapati sekurang-kurangnya 117 iklan seumpama itu telah disiarkan sejak Mac lalu, jelas bertentangan dengan polisi pengiklanan Meta sendiri.

Antara iklan yang tular ialah rayuan dari pasukan penembak tepat Unit Shaked, yang memohon sumbangan untuk membeli tripod senjata api bagi kegunaan operasi di Jabalia, Gaza.

Menurut Ekō, ini bukan kali pertama iklan seperti itu dikesan kerana sebelum ini pada Disember tahun lalu, badan itu telah pun memaklumkan kepada Meta mengenai 98 iklan serupa dan telah bertindak membuang sebahagian daripadanya namun begitu, penerbit dilaporkan meneruskan kempen baharu dengan kandungan yang sama.

“Ini membuktikan Meta sanggup ambil wang daripada sesiapa sahaja. Sistem semakan dan kawalan mereka sangat longgar, malah tindakan hanya diambil selepas diberi amaran,” kata Maen Hammad, jurucakap Ekō.

Sementara itu, jurucakap Meta, Ryan Daniels berkata syarikat itu telah menyemak dan membuang iklan-iklan berkenaan selepas dihubungi oleh pihak media dan Ekō.

Menurutnya, semua iklan berkaitan isu sosial, pilihan raya atau politik sepatutnya melalui proses pengesahan serta mengandungi penafian yang memaklumkan pihak yang membiayai iklan tersebut.

Sebahagian besar daripada iklan itu memohon sumbangan khusus untuk membeli model dron komersial yang diubah suai untuk tujuan serangan, seperti yang didedahkan dalam siasatan oleh majalah +972.

Menurut laporan, sumbangan itu diperoleh menerusi laman kutipan dana seperti yang dikendalikan oleh Vaad Hatzedaka, sebuah organisasi bukan untung yang telah berjaya mengumpul lebih$250,000 (RM1.2 juta) daripada sasaran $300,000 (RM1.4 juta) bagi membeli dron dan peralatan lain untuk pelbagai unit IDF.

Polisi pengiklanan Meta dengan jelas melarang penjualan, pemindahan atau pengumpulan dana untuk senjata api, bahagian senjata, bahan letupan atau ‘peningkatan maut’ (lethal enhancements) kecuali dalam kes-kes tertentu.

Walaupun Meta telah memadamkan sebahagian iklan yang dilaporkan, tindakan itu lebih kepada faktor iklan tersebut tidak mematuhi peraturan berkaitan penafian tajaan iklan sosial dan politik, bukannya kerana kandungan kutipan dana itu sendiri. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN