METZ: Karya seni kontroversi ciptaan artis Itali, Maurizio Cattelan, yang menampilkan sebiji pisang segar dilekatkan pada dinding dengan pita pelekat, sekali lagi menjadi perhatian selepas dimakan oleh pengunjung sebuah muzium di Perancis.
Karya berjudul “Comedian” itu dimakan oleh seorang pengunjung di Centre Pompidou Metz, di timur Perancis pada 12 Julai lalu, menurut kenyataan rasmi pihak muzium yang dikeluarkan Isnin lalu.
“Pasukan keselamatan bertindak pantas dan tenang mengikut prosedur dalaman,” kata kenyataan itu.
Muzium berkenaan menjelaskan, karya tersebut dipasang semula beberapa minit selepas insiden berlaku, memandangkan pisang hanyalah elemen mudah rosak yang memang diganti secara berkala mengikut arahan Cattelan sendiri.
Menurut Centre Pompidou Metz, artis berkenaan melahirkan rasa kecewa kerana pengunjung terbabit hanya memakan pisang itu sahaja, sedangkan jika benar-benar ingin memahami maksud karya tersebut, kulit pisang dan pita pelekat juga sepatutnya dimakan.
Bagaimanapun, pihak muzium memaklumkan tiada laporan polis dibuat berhubung kejadian itu.
Karya “Comedian” dianggap sebagai satu sindiran terhadap keabsurdan spekulasi kewangan dan rapuhnya sistem pengetahuan yang menyokong pasaran seni kontemporari, kata pihak muzium dalam kenyataannya.
Ini bukan kali pertama karya tersebut menjadi mangsa dimakan pengunjung, di mana sebelum ini, pada tahun 2019, ketika karya itu pertama kali diperkenalkan di Art Basel Miami, Amerika Syarikat, seorang artis persembahan, David Datuna, mengejutkan dunia seni apabila dia mengambil pisang tersebut dari dinding lalu memakannya di depan ratusan pengunjung pameran.
Peristiwa itu menjadi antara detik paling viral dalam dunia seni ketika itu, namun karya berkenaan tetap berjaya dijual bersama pisang gantian pada harga AS$120,000 (RM570,000).
Manakala pada November tahun lalu, apabila seorang jutawan China dan pengasas platform mata wang kripto, Justin Sun, membeli karya “Comedian” pada harga AS$6.24 juta (RM29 juta) di sebuah acara lelongan dan selepas itu turut memakan pisang tersebut. -AGENSI










