Hospital Pakar Mata Gaza lapor 1,200 kes hilang penglihatan baharu pada Julai - Utusan Malaysia

Hospital Pakar Mata Gaza lapor 1,200 kes hilang penglihatan baharu pada Julai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Sebuah hospital pakar mata di Gaza melaporkan hampir 1,200 kes baharu hilang penglihatan secara keseluruhan atau sebahagian sepanjang bulan Julai, ketika serangan berterusan Israel dan sumber perubatan semakin kritikal di wilayah Palestin itu.

Pengarah Hospital Pakar Mata di Gaza, Dr. Abdel Salam Sabah berkata, kakitangan perubatan telah merawat hampir 1,200 kes baharu melibatkan kehilangan penglihatan penuh atau sebahagian di Bandar Gaza dan kejiranan Al-Nasr dalam tempoh dua minggu lalu.

Menurut beliau, hospital itu sebelum ini telah merekodkan kira-kira 1,500 kes buta sepenuhnya atau separa akibat kecederaan pada mata dan ramai lagi pesakit sedang mengalami kemerosotan penglihatan secara beransur-ansur akibat penyakit kronik yang tidak dirawat.

Dr. Sabah turut memberi amaran bahawa antara 4,000 hingga 5,000 pesakit yang sebelum ini mendapat rawatan susulan secara berkala di hospital sebelum perang meletus pada Oktober 2023 kini tidak lagi menerima rawatan, sekali gus berisiko tinggi untuk hilang penglihatan sepenuhnya.

Beliau menambah bahawa kekurangan zat makanan yang teruk menyebabkan kekurangan vitamin dan mineral, yang meningkatkan risiko kerosakan penglihatan khususnya dalam kalangan pesakit diabetes.

Sejak 2 Mac 2025, tentera Israel telah menutup semua laluan masuk ke Gaza, sekali gus mengehadkan bekalan makanan dan bantuan perubatan yang boleh dibawa masuk ke wilayah tersebut, menyebabkan kebuluran yang meluas.

Sejak serangan Israel ke atas Gaza bermula pada akhir 2023, sebanyak 58,895 kematian direkodkan dalam kalangan rakyat Palestin dengan kebanyakannya wanita dan kanak-kanak manakala 140,980 lagi cedera.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN